Berita

Konflik Lahad Datu: Tuduh menuduh bukan penyelesaian

PETALING JAYA, 6 MAC: Pakatan Rakyat (PR) kesal kerana terus menjadi mangsa manipulasi isu pencerobohan Kesultanan Sulu di Lahad Datu dengan pelbagai spekulasi liar oleh media kawalan UMNO-Barisan Nasional (BN).

Pembantu Khas Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Kasthuri Patto berkata, beliau kecewa apabila isu itu terus menuduh pemimpin PR walaupun sudah menyatakan hasrat untuk duduk bersama membincangkan penyelesaian konflik berdarah itu.

“Siapa kita untuk dituduh yang bukan-bukan? Kerajaan mahu isu ini tidak dipolitikkan tapi kenapa ia terus menjadi mainan politik mereka?

“Minggu ini adalah minggu kesedihan buat rakyat Malaysia. Kita kehilangan perwira yang mempertahankan negara. Isu ini tidak wajar dipolitikkan untuk mendapat sokongan,” tegasnya.

Menurut Kasthuri, trend tuduh-menuduh ini bukanlah perkara baru malah BN meletakkan kesalahan ke atas PR bagi hampir semua isu yang timbul.

“Ini bukan satu politik matang,” katanya.

Mengenai isu lain, Kasthuri berkata, masalah ekonomi yang dihadapi rakyat dan negara kini adalah berpunca daripada kegagalan urus tadbir yang baik.

Beliau pada masa yang sama turut menyindir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu rakyat mengubah gaya hidup mereka sebelum menyerahkan bantuan BR1M baru-baru ini.

“Nak ubah macam mana kalau bil semakin melambung. Harga makanan semakin mahal. Bagaimana kita nak berjimat?

“Sebenarnya kita tidak perlu ubah cara hidup kita. Tapi kita yang perlu ubah mereka (BN),” ujar beliau.

Sambil menekankan betapa pentingnya sebuah pentadbiran kerajaan yang telus, berintegriti dan akauntabiliti, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia bangun melakukan perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Kali ini kita kena pecat Anwar dari menjadi Ketua Pembangkang dan melantik Najib menggantikan tempat beliau!” ujar beliau bersemangat. – Roketkini.com