Berita

Usah biarkan cerdik pandai terus berhijrah ke luar negara

PETALING JAYA, 6 MAC: Tawaran yang tidak setimpal dan menarik adalah sebab utama pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara tidak pulang bekerja di Malaysia sebaik tamat pengajian.

Justeru itu tidak hairan jika ramai ahli akademik negara ini meluahkan keresahan mereka kerana semakin kurang cerdik pandai yang akhirnya menyebabkan negara kerugian tenaga pakar.

Penasihat Strategi Media Sosial DAP, Yeo Bee Yin Ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 hadirin berkata, situasi yang pernah dialaminya sendiri ketika menuntut dan bekerja di Cambridge perlu diberi perhatian serius kerajaan.

“Pengaliran keluar cerdik pandai negara kita tidak seimbang. Ia menyebabkan kualiti tenaga mahir Malaysia semakin berkurangan.

“Dan jika kita lihat apa yang berlaku, 60 peratus kemasukan warga asing ke negara ini cuma mempunyai pendidikan paling asas atau kurang daripada itu,” jelasnya.

Menurut Bee Yin, walaupun kerajaan melaksanakan program Retain Expert Programme (REP) untuk mengatasi masalah penghijrahan cerdik pandai Malaysia ke luar negara, hanya sekitar 600 di kalangan mereka yang pulang ke tanah air.

“Jika kita melihat kembali angka mereka yang berhijrah ke luar negara, dianggarkan sekitar 300,000 anak muda Malaysia berhijrah dan bekerja di luar negara.

“Tanpa menyelesaikan masalah itu secara serius, masa depan negara akan malap. Kerajaan harus meletakkan golongan cerdik pandai ini sebagai satu keperluan terpenting negara lantas menjadikan Malaysia sebagai negara yang penuh dengan peluang yang setimpal dan baik,” tegasnya.

Bee Yin juga meluahkan isi hatinya yang mahu Malaysia tidak sekadar dibangunkan dengan pelbagai janji kosong dan retorik.

“Kita kini hidup di saat kita punya pilihan untuk berubah. Jika semua daripada kita melakukan sedikit perubahan, kita bakal merubah dan membangunkan negara ini dengan asas yang kukuh,” ujar beliau.

Kini, katanya, fakta menunjukkan Malaysia terpaksa membawa masuk warga luar seperti dari India, Pakistan dan Bangladesh untuk memenuhi permintaan pasaran kerja terutama dalam bidang perubatan, teknologi maklumat dan sebagainya.- Roketkini.com