Berita

Masyarakat India tidak dipinggir, Manifesto Rakyat meliputi semua kaum

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tidak ada golongan yang dipinggirkan dalam manifesto Pakatan Rakyat kerana manifesto itu dibuat dengan penelitian menyeluruh dan mengambil pandangan semua pihak.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berkenaan isu masyarakat India yang didakwa dipinggirkan dalam manifesto PR.

“Saya nak sebut bahawa masyarakat India diwakili oleh orang India dalam DAP, PKR dan PAS serta badan lain termasuk NGO.

“Isu masyarakat India itu turut dibangkitkan Ahli Parlimen dari PKR dan DAP membabitkan isu soal warganegara dan sudah beri perakuan. Sebab itu soal rundingan dengan semua pihak dan Hindraf boleh, tapi jangan menafikan semua usaha pihak dalam kalangan ini,” katanya pada sidang media di Kelab Diraja Tasik Perdana, baru-baru ini.

Anwar berkata, Manifesto Rakyat itu bersifat holistik dan berbeza dengan manifesto Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Manifesto kita bukan ada subjek Dayak, India, Melayu. Manifesto ini manifesto rakyat. Turun minyak untuk semua rakyat, sekolah bantuan penuh untuk semua. Ia termasuk sekolah Tamil, sekolah Cina, sekolah agama, sekolah Arab dan sebagainya.

“Kita tidak sebut sekolah tertentu sahaja, tetapin kita sebut semua sekolah mendapat bantuan penuh,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai pendidikan, Anwar menegaskan bahawa peluang saksama diberi kepada semua rakyat memperoleh pendidikan percuma.

“Kita tidak sebut OKU saja, jawapan saya, peluang saksama semua orang untuk memperoleh pendidikan percuma. Maksudnya, adalah tanggungjawab kerajaan memberi pendidikan percuma termasuk OKU,” tambahnya.- Roketkini.com