Berita

DUN Chennah: DAP tambah kerusi, PR perintah Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hasan bahawa pengaruhnya semakin merosot di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak sebab itu memilih bertanding di DUN Chennah adalah mengarut dan tidak benar.

Sebaliknya, katanya, keputusannya untuk bertanding di DUN Chennah kerana yakin sokongan rakyat di kawasan itu terhadap DAP dan Pakatan Rakyat semakin meningkat bukannya merosot..

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan supaya pengundi di DUN Chennah menolak calon DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Mohammad dalam laporan Utusan Malaysia semalam mendakwa bahawa keputusan Loke bertanding di DUN Chennah kerana pengaruh pemimpin DAP itu di DUN Lobak semakin merosot.

“Saya anggap kenyataan Mohammad itu tidak logik dan tidak perlu dilayan kerana saya yakin sokongan pengundi di sini semakin meningkat dan berpeluang cerah memenangi DUN Chennah.

“DAP memperoleh majoriti besar di DUN Lobak dan tujuan saya bertanding di DUN Chennah adalah untuk menambahkan kerusi DUN Pakatan Rakyat (PR) sekaligus memerintah Negeri Sembilan.

“Mereka main psikologi. Sebenarnya BN yang tertekan dan saya malas nak layan hujah yang tidak masuk akal itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Loke yang mewakili DAP memenangi kerusi DUN Lobak dengan majoriti besar 6,928 undi berbanding hanya 1,842 undi yang dimenangi pada PRU 2004 menewaskan calon BN, Khoo Seng Hock.

Manakala bagi DUN Chennah, How Wee Shiong (DAP) mencatatkan peningkatan jumlah undi apabila memperolehi 2,793 undi pada PRU 2008 berbanding hanya 2,573 undi pada PRU 2004. – Roketkini.com