Berita

Pahang bakal catat sejarah; belia Melayu mula kibar bendera DAP

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Kefahaman terhadap prinsip dan perjuangan DAP semakin mendapat tempat di kalangan remaja Melayu di beberapa kampung di Pahang apabila mereka sanggup memasang bendera dan memakai baju berlogo parti itu.

“Kami mula melihat perkembangan menarik itu. Pemuda Melayu semakin boleh menerima DAP. Mereka berani tampil ke hadapan dan membuat kerja sukarela parti.

“Mereka sanggup bersaing, perang bendera dengan BN. Ini petanda baik kerana sebelum ini tidak pernah berlaku,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Tras, Choong Siew Onn.

Menurut beliau, memang secara tradisinya kampung Melayu dianggap kubu kuat UMNO tetapi realiti yang sedang berlaku di Pahang kini sesuatu yang positif bagi DAP dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Dalam ceramah, selain isu semasa, kita biasanya tekankan prinsip perjuangan parti. Kita jelaskan bahawa DAP bukan parti Cina seperti yang selalu dituduh UMNO, kita alu-alukan orang Melayu sertai DAP,” ujar beliau ketika ditemui.

Ditanya mengenai generasi muda FELDA pula, Choong berkata, maklum balas yang diterima menunjukkan ramai generasi kedua FELDA mahu kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

“Mereka bukan tidak berminat untuk usahakan tanah FELDA tetapi ada kekurangan di situ. Kalau harga komoditi sawit tidak setanding dengan Indonesia atau tidak stabil, inilah kelemahannya.

“Bagi mereka yang berpendidikan, mereka mahukan sesuatu yang lebih setimpal. Mereka mahu kehidupan yang setanding dengan negeri maju seperti di Selangor dan Pulau Pinang, sekurang-kurangnya mereka boleh mencuba dalam pelbagai bidang dan peluang kerjaya,” jelasnya.-Roketkini.com