Berita

Lim Guan Eng Ketua Menteri terbaik, DAP ‘terang lagi bersuluh’ bela Melayu Islam

SKUDAI, 20 MAC: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah semua tuduhan yang disifatkannya ‘mengarut’ terhadap Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa anti Islam dan Melayu.

“Apa yang dilakukan oleh Guan Eng di Pulau Pinang jauh lebih baik, berbeza dari zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN),” katanya di hadapan puluhan ribu hadirin sempena sambutan 47 tahun penubuhan DAP di sini.

Sebagai  bukti, semasa pentadbiran BN sebelum Mac 2008, peruntukan kepada pembangunan Agama Islam hanya RM25.7 juta.

Tetapi, peruntukkan untuk agama Islam semasa pentadbiran DAP kini meningkat sebanyak RM33.2 juta pada tahun 2009, RM38.9 juta pada 2010, RM45.7 juta pada 2011 dan RM64.03 juta pada 2012.

Ini tidak termasuk dengan sumbangan dan pengiktirafan kepada Al-Huffaz negeri itu, peruntukan tambahan kepada Sekolah Agama Rakyat dan saguhati tahunan kepada guru-guru KAFA yang tidak pernah dilakukan semasa pentadbiran BN.

Malangnya, bukti nyata, terang dan jelas yang sekaligus menafikan semua dakwaan jahat UMNO-BN terhadap DAP itu tidak menjadi iktibar buat mereka untuk menghentikan fitnah yang dilontarkan.

Menurut Anwar, Lim Guan Eng merupakan satu-satunya Ketua Menteri terbaik di Pulau Pinang yang pernah dilantik setakat ini dan berharap beliau terus kekal mentadbir negeri itu.

“Walaupun Lim Guan Eng lahir di Johor, janganlah bawa dia kesini, kami di Pulau Pinang perlukan dia,” kata Anwar dalam nada berseloroh.

Beliau turut mengingatkan kepada hadirin supaya berhati-hati dengan taktik kotor kempen BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Kita harus memberi fokus kepada perubahan. Menjelang pilihan raya umum akan datang, lebih banyak perkara akan mereka lakukan. Jangan takut, kita harus lakukan perubahan. -Roketkini.com