Berita

Jika DAP, PR menang, Malaysia tetap aman damai

PUCHONG, 21 MAC: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu rakyat sedar bahawa negara tidak akan huru-hara atau muflis jika Pakatan Rakyat (PR) mentadbir pusat kerana ini sekadar momokan untuk menakutkan rakyat daripada ‘orang yang penakut’.

“Orang yang takut mestilah orang yang buat salah. Anda ada curi saham tak? Anda ada curi kereta tak? Anda ada curi tanah tak? Anda ada curi lembu tak? Apa nak takut kalau kita tak mencuri? Yang memang patut takut ialah BN.

“Sebab itu BN takut, jika PR menang, kita tak akan benarkan mereka yang mencuri lari,” katanya ketika majlis perasmian Pejabat Baru DAP Kinrara, hari ini.

Menurut beliau, momokan huru-hara dan negara muflis jika PR memerintah tidak masuk akal langsung kerana rakyat Malaysia adalah rakyat yang cintakan keamanan dan mahukan pentadbiran yang bersih.

“Tengok di Selangor, tengok di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, ada bankrap tak? Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam pun kata Malaysia tidak akan bankrap kalau PR memerintah.

“BN kata negara akan huru-hara. Saya nak tanya anda semua sekarang ini kita ada gaduh-gaduh tak? Tengok ketika Bersih, Bersih 2.0, Bersih 3.0, orang Melayu paling ramai, orang India, orang Cina semua ada. Mana ada gaduh!” tegas beliau.

Justeru itu Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mahu rakyat Malaysia tidak tertipu dengan mainan politik BN dan bersatu hati membentuk kerajaan baru PR.

“Masa dia (BN) menang besar dia tak jaga rakyat, dia tak bagi macam-macam kepada rakyat seperti sekarang. Bila dia rasa macam nak kalah, sekarang baru pura-pura nak jaga rakyat.

“Lebih 50 tahun tidak beri wang pada rakyat, bila PR beri bantuan RM100 kepada warga emas di Pulau Pinang, mereka ikut. Sekarang, bila mereka nak ‘masuk kubur’ baru nak beri wang,” katanya.

Turut berucap ialah Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Penyelaras DUN Seri Serdang, Rosharizan Rozlan; Bendahari PAS Puchong, Noor Hanim Ismail dan Timbalan PKR Cabang Puchong, Ramli Dahlan.-Roketkini.com