Berita

Sudah berjaya sebagai oposisi, DAP mahu cemerlang bersama PR sebagai kerajaan

PUCHONG, 21 MAC: Kesediaan rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) sebagai Kerajaan Persekutuan merupakan punca utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangguhkan pilihan raya umum ke-13 walaupun sudah tamat tarikh luput lima tahun.

Kematangan politik, penggunaan meluas media baru dan kemantapan gabungan PAS, PKR dan DAP dalam PR berjaya menarik perhatian rakyat yang selama ini terkongkong oleh monopoli media yang berat sebelah.

Menurut Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo, sekiranya dahulu DAP-PR berjaya menjadi oposisi yang baik di Parlimen, kini gabungan itu sudah siap sedia menjadi pentadbir persekutuan yang cemerlang.

“Menjadi sebagai oposisi yang kuat tidak cukup kerana walaupun kita bagi tekanan kuat, mereka masih berkuasa untuk melakukan perbuatan yang dibenci oleh rakyat seperti rasuah dan salahguna kuasa.

“Misalnya jika kita nyatakan sesuatu, bangkang apa-apa perkara, lawan dia (BN) di Parlimen, kalau mereka tak boleh tahan, mereka akan gantung kita, dakwa kita dan macam-macam lagi,”
katanya di majlis perasmian pejabat DAP Kinrara di sini malam tadi.

Justeru, Gobind berkata, misteri tarikh PRU yang menjadi teka-teki rakyat saban hari menunjukkan Najib serta UMNO-BN tidak yakin dengan penerimaan rakyat terhadap mereka.

Ini ditambah pula dengan pentadbiran negeri-negeri PR berjaya dikelola dengan cemerlang, ujarnya.

“Kita sudah buktikan, lima tahun mentadbir Selangor, ekonomi lebih kukuh. Sama juga dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

“Mereka kata negeri-negeri PR akan bankrap. Tapi sampai sekarang tak bankrap. Malah lebih cemerlang dari zaman pentadbiran BN dulu. Sebenarnya yang takut bankrap ialah UMNO sebab tak dapat projek,” ujar beliau yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP.

Pejabat DAP Kinrara yang beralamat di Prima Avenue 3, Jalan Puchong akan mula beroperasi sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, bermula jam 9.30 pagi hingga jam 5.30 petang di bawah seliaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Teresa Kok. – Roketkini.com