Berita

Melayu Johor sedar DAP bukan musuh, sedia tolak salahguna kuasa BN

PONTIAN, 21 MAC: Orang Melayu di Johor yang semakin mesra dengan DAP mula sedar bahawa Barisan Nasional tidak lagi mewakili kepentingan rakyat kerana terlalu sibuk menjaga kepentingan keluarga dan kroni mereka.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, orang Melayu sudah boleh menerima DAP sebagai rakan kongsi untuk membina Malaysia baru yang bebas dari rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

“BN tidak lagi mewakili suara rakyat Malaysia kerana penyelewengan dan pembaziran terus berlaku. Walaupun pemimpin BN kata mereka utamakan rakyat, jelas hanya kroni BN saja yang mendapat segala kekayaan dan kemewahan.

“DAP yang komited dengan perjuangan untuk membela semua golongan akan membariskan calon-calon dari pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam satu majlis ceramah anjuran bersama PAS-DAP di Kampung Melayu Raya di Pekan Nanas di sini semalam.

Kampung tersebut merupakan kubu kuat UMNO sejak beberapa dekad lalu yang tidak pernah membuka pintu untuk parti pembangkang. Sikap terbuka penduduk Melayu di sini membuktikan angin perubahan sedang melanda negeri Darul Takzim.

Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau pula berkata, DAP telah membuktikan kewibawaan sebagai kerajaan apabila berjaya mentadbir Pulau Pinang tanpa mengabaikan keperluan dan kebajikan Melayu dan Islam.

“Fakta menunjukkan setiap tahun peruntukan untuk keperluan agama Islam terus bertambah melebihi peruntukan kerajaan BN termasuk di negeri Johor. Pulau Pinang beri peruntukan RM64 juta setahun kepada orang Islam berbanding BN Johor hanya RM25 juta.

“Malah bantuan Sekolah Agama rakyat (SAR) di Pulau Pinang meningkat setiap tahun. Di samping itu, kerajaan PR Pulau Pinang juga membantu Sekolah Tamil dan Sekolah Cina,” katanya.

Ketua Biro Pakatan Rakyat Pemuda DAP, Mazir Ibrahim, pula menjelaskan bahawa orang Melayu mesti keluar dari kepompong ketakutan yang direka oleh UMNO selama lebih 55 tahun.

“Pimpinan UMNO menggambarkan DAP sebagai parti Cina yang anti-Melayu tetapi apabila pemimpin MCA memperlekeh agama Islam dan hudud, pemimpin UMNO hanya membisu. Sebenarnya pemimpin DAP tidak pernah menghina agama Islam.

“DAP juga difitnah mengabaikan orang Melayu tetapi pemimpin UMNOlah yang mengambil tanah keluarga Melayu di Pulau Pinang dan kemudian menjualnya kepada tauke pemaju. Banyak sangat fitnah UMNO dan pecacai mereka terhadap DAP yang hanya berjuang untuk kepentingan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” ujar beliau. – Roketkini.com