Berita

DAP-PR bersikap terbuka: Lagi peluang rakyat kemuka idea lebuhraya, terowong dasar laut P. Pinang

GEORGE TOWN, 22 MAC: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan mengadakan satu lagi dialog mengenai cadangan menaiktaraf jalan utama dan membina terowong bawah dasar laut.

Justeru, orang ramai boleh menyuarakan pandangan tentang projek lebuhraya dan terowong yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam, Butterworth kepada masyarakat di Seberang Perai Utara (SPU) khususnya dan masyarakat Seberang Perai amnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sesi dialog ketiga bersama masyarakat Seberang Perai akan diadakan di Dewan Besar Sungai Dua, Seberang Perai Utara, mula 10.00 pagi Ahad, 24 Mac ini.

Katanya, kerajaan negeri telah mengadakan dialog pertama bersama NGO pada 10 Mac lalu di Dewan Bandaran MPPP dan yang kedua bersama masyarakat Cina pada 19 Mac lalu di Penang Chinese Town Hall (PCTH).

“Kerajaan Negeri percaya dialog awam itu akan memberi peluang kepada masyarakat Pulau Pinang untuk mendapatkan lebih input tanpa perlu percaya dengan fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab terutama projek yang menjadi perbualan hangat iaitu pembinaan terowong bawah laut sepanjang 7km dari Persiaran Gurney – Bagan Ajam (berhampiran Butterworth).

“Selain itu tiga projek jalan pintas sejauh 12km jalan yang menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang, jalan pintas sejauh 4.2km dari Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas sejauh 5 km dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam,” katanya dalam kenyataan di Komtar, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang mendapat maklum balas baik daripada masyarakat Pulau Pinang berhubung projek itu dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memacu pembangunan ekonomi di Seberang Perai Utara (SPU).

Menurutnya, tiada wang akan dibayar kerana empat projek berkenaan akan dibiayai melalui pertukaran tanah daripada tanah yang akan ditambak oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TP).

“Adalah tidak benar sama sekali projek RM6.3 bilion itu diberi kepada syarikat bermodal RM2 kerana China Railway Construction Corporation Ltd dan Beijing Urban Construction Group yang mendapat tender itu adalah syarikat pembinaan gergasi di Negara China yang berpengalaman menjalankan projek besar keretapi, terowong dan Stadium Olimpik “Bird Nest” di Beijing,” katanya. – Roketkini.com