Rencana

DILEMA – Siapa gelabah? Rasanya bukan DAP atau Pakatan…

Apabila Lim Kit Siang mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor, maka bertiuplah semboyan propaganda UMNO-BN dengan bermacam tuduhan dan fitnah.

Ada pemimpin dan pecacai UMNO yang kata Kit Siang penakut kerana lari dari kerusi Parlimen Ipoh Timur. Inilah akibat sistem pendidikan yang lemah sehingga pembohongan (atau kejahilan yang amat sangat) sanggup dijadikan berita dan analisis berita.

Benarkah Kit Siang takut?

Adakah beliau takut kerana telah menang Ipoh Timur dengan majoriti 21,942 undi dalam PRU 2008 bersama tsunami politik Malaysia?

Adakah beliau takut kerana telah menang Ipoh Timur dengan majoriti 9,774 dalam PRU 2004 di mana tiada ribut taufan politik manakala DAP pula tidak mendapat sambutan rakyat pada ketika itu?

Ada juga pemimpin dan pecacai UMNO-BN yang kata kehadiran Ketua Parlimen DAP di Johor itu sebagai petanda tidak yakin dengan kepimpinan DAP negeri.

Benarkah dakwaan ini?

Para pecacai UMNO-BN ini terkial-kial mencari alasan apabila Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, orang Pahang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor. Mereka juga tak keruan dengan alasan apabila Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, orang Johor menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Benarkah Najib dan Muhyiddin tidak yakin atau percaya dengan kepimpinan tempatan?

Seorang pemimpin UMNO Selangor pernah dipetik media sebagai berkata kedudukan Najib sebagai ketua UMNO di Selangor amat penting kerana “untuk memperkuatkan lagi keyakinan serta sokongan rakyat terhadap parti, kita merasakan adalah sesuai agar beliau terus kekal mengetuai UMNO negeri ini”.

Agaknya bagi pecacai UMNO-BN, alasan seperti itu hanya sah untuk pemimpin mereka. Untuk orang lain, semuanya salah belaka.

Kehadiran Kit Siang sebenarnya adalah untuk membantu DAP dan Pakatan Rakyat menambah seberapa banyak kerusi Parlimen yang mungkin dalam usaha membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Ini yang membuatkan UMNO-BN teramat gelabah. Mereka sedar bahawa rasuah politik dengan BR1M dan macam-macam pemberian yang menggunakan cukai wang rakyat serta hutang yang akan ditanggung bebannya oleh rakyat Malaysia generasi muda hari ini, sudah tidak memberi kesan di hati rakyat.

Kita tahu para pecacai UMNO-BN akan teruskan propaganda murahan ini yang tidak banyak beza sejak zaman Perang Dingin dulu. Mereka angkuh kerana mereka kuasai akhbar, tv dan radio.

Mungkin mereka tidak sedar bahawa sejak runtuhnya Tembok Berlin dulu, kita sudah ada internet, facebook, blackberry, whatsapp dan pelbagai lagi gajet yang digunakan golongan tua dan muda dari pelbagai kaum, agama dan pegangan politik.

Lagipun, mereka dikatakan sudah “dibayar”, jadi buatlah apa yang patut untuk memuaskan hati boss yang membayar.

Bagi Pakatan Rakyat, hampir segala usaha giat kempen datang dari rakyat sendiri, secara sukarela di mana idea, wang ringgit serta titik peluh adalah dari poket rakyat sendiri. Semuanya ini kerana rakyat mahu membersihkan Malaysia daripada rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, perkauman dan diskriminasi. Rakyat mahu menuntut keadilan, demokrasi dan hak asasi.

Inilah maksud “Ubah”. – Roketkini.com