Berita

Manifesto Rakyat: DAP pertikai hasil petroleum negara

KUALA LUMPUR, 22 MAC: “Kerajaan menjual petroleum bermutu tinggi ke luar negara dan Petronas memperoleh hasil ratusan bilion ringgit setahun. Mana pergi duit itu?”

Demikian soalan yang dilontar Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang menempelak tuduhan Barisan Nasional (BN) yang menganggap Manifesto Rakyat tidak boleh dilaksanakan kerana kononnya kerajaan tidak berkemampuan.

“Kita tahu, Petronas bagi RM30 bilion setiap tahun kepada kerajaan. Tapi kalau kita nak bagi pendidikan percuma, ia hanya memerlukan RM6 bilion setahun,” katanya dalam Ceramah Manifesto Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, Pakatan Rakyat (PR) bukan ‘orang gila’ yang sesuka hati merangka sesuatu dasar.

“Kalau kita eksport petroleum dan beratus-ratus bilion untung, takkan dengan hanya RM6 bilion kita tak mampu? Ini belum lagi dicampur dengan pendapatan negara yang lain seperti hasil minyak sawit dan sebagainya,” katanya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin.

Tambahnya, adalah menjadi hak rakyat negara ini untuk menikmati penggunaan petroleum bermutu tinggi tanpa perlu mengimport petroleum bermutu rendah dari luar negara.

“Kerajaan jual petroleum bermutu tinggi ke luar negara, sebaliknya mengimport petroleum bermutu rendah untuk rakyat. Sekarang kita guna petroleum bermutu rendahlah,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta rakyat Malaysia menilai tawaran PR dalam Manifesto Rakyat tanpa membuat tuduhan melulu kerana hakikatnya Malaysia berkemampuan memberi nikmat yang lebih menyeluruh kepada rakyat dan bukan sekadar pendidikan percuma yang berkualiti.

Antara pimpinan utama PR yang turut menyampaikan ucapan ialah Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. – Roketkini.com