Rencana

Tak kenal, maka tak cinta: Itulah Lim Kit Siang Oleh Hafiz Zainuddin

MANGSA fitnah UMNO, Lim kit Siang yang dituduh kencing pada tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor ketika tragedi hitam 13 Mei 1969 kini kembali ke tanah tumpah darahnya, Johor. Di negeri berkenaan juga parti paling lama memerintah itu dilahirkan.

Johor bakal dikejutkan ‘singa’ Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang lantang memperjuangkan nasib semua kaum di negara ini apabila Lim Kit Siang diumumkan akan bertanding di negeri itu. Ini sosok manusia penuh misteri dan dongeng di kalangan masyarakat Melayu.

DAP tak gentar lawan MCA

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Keputusan pimpinan tertinggi DAP itu untuk bertanding di Gelang Patah, Johor, bakal menggugat dan memecahkan kubu kuat MCA yang tidak pernah kalah sejak merdeka.

Ketika turut serta meraikan sambutan ulangtahun DAP ke-47, di Johor, minggu lalu, saya nampak kesiapsiagaan Kit Siang untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah bakal memberi mimpi ngeri bagi MCA dan BN Johor berdasarkan mood warga di negeri itu.

Benar DAP tekad mahu menang di Gelang Patah dan semua kerusi yang ditandinginya di Johor. Apapun, perkara paling fundemental adalah matlamat DAP bersama temannya PAS dan PKR untuk melangkah ke Putrajaya membentuk kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Kekalahan bukan perkara luar biasa bagi parti oposisi walaupun kemenangan BN dihantui pelbagai manipulasi dan helah. Tetapi, bila memperlihatkan kehadiran sekurang-kurang 40,000 warga Gelang Patah pada acara itu, saya fikir, semangat BN kali ini sudah hilang separuh. Ini adalah petanda baik DAP, apa lagi bila langit petang yang mulanya sudah renyai, hilang begitu saja ditiup angin.

Lim Kit Siang calon ‘sakti’?

DAP pernah hilang banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-11 2004 ketika pengasas Islam Hadhari, Tun Abdullah Ahmad Badawi diberi kepercayaan menerajui Kabinet.

Sentimen “Bekerja bersama saya dan bukan bekerja untuk saya” yang menjadi azimat Pak Lah tidak menjejaskan karier politik Kit Siang malah berjaya memenangi Parlimen Ipoh Timur, Perak dengan majoriti 9,974 undi apabila memperolehi 28,851undi menewaskan lawannya Thong Fah Chong mewakili parti Cina, MCA yang hanya mendapat 19,077 undi.

Pada PRU 2008 pula, Ketua Parlimen DAP itu kekal menang dengan majoriti lebih besar iaitu 21,942 undi berbanding sebelumnya apabila memperolehi 37,364 undi menewaskan calon BN daripada MCA, Liew Mun Hon yang hanya mendapat 15,422 undi.

Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun mempunyai matlamat yang lebih besar. Selain berusaha merealisasikan cita-cita PR membentuk Kerajaan Persekutuan, beliau mahu membuktikan bahawa perjuangannya untuk memecah tembok hegemoni perkauman tidak sia-sia. Rakyat harus disedar, dikejutkan dan pencerahan politik demi menjatuhkan ego dan keangkuhan kerajaan BN, Johor.

Walaupun pimpinan MCA Johor menganggap keputusan berani Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah itu seolah-olah ‘menghulurkan leher untuk disembelih’ di kubu kuat mereka, beberapa analisis pula menyatakan sebaliknya.

“Tsunami politik kali ini bakal melanda bermula dari selatan ke utara. Kita mahu rakyat Johor jadi penentu, perubahan ke Putrajaya,” kata Lim Kit Siang, pada malam itu.

Dengan kehadiran sosok yang sering dipalitkan dengan pelbagai tuduhan perkauman dan fitnah ini di bumi Johor, kita berharap imej DAP di mata seluruh rakyat Johor akan pulih. Buat orang Melayu, mereka harus kenal siapakah Lim Kit Siang. Bak kata orang, kalau tak kenal, maka tak cinta.-Roketkini.com