Rencana

BN hanya pandai ‘menyalak’, sedangkan kerajaan DAP-PR Pulau Pinang dapat pujian rakyat

PADANG Kota Lama mencatat satu lagi sejarah apabila Barisan Nasional (BN) menghimpunkan pengikutnya membantah Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng atas alasan kononnya “gagal melaksanakan tanggungjawab”.

Cabai Burung berasa sedih dan hairan apabila Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow memperbodohkan diri sendiri mempersoal apa yang dilakukan kerajaan PR Pulau Pinang sejak lima tahun memerintah negeri itu.

Atau, adakah Teng Chang Yeow dan pemimpin BN yang lain tidak baca berita bahawa Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang sendiri memuji Pulau Pinang dan negeri PR yang lain kerana berjaya mengawal kadar hutang selain usaha meningkatkan pendapatan kerajaan negeri masing-masing.

Atau, adakah pemimpin BN terlalu naif kerana cuma menilai pembangunan dan kemajuan berdasarkan ‘naiknya’ bangunan tinggi?

BN sepatutnya malu, belajar daripada kesilapan

Sepatutnya BN berasa malu dan belajar daripada kelemahan bila Pulau Pinang yang diterajui DAP mendahului senarai dari segi pungutan hasil negeri, mencatatkan peningkatan sebanyak RM192.19 juta atau 46.8% berbanding RM410.70 juta yang dicatat pada 2010!

Antara tuduhan lapuk lain yang dimainkan BN kononnya kerajaan negeri gagal menyediakan rumah kos rendah. Teng juga dipetik berkata “keadaan ekonomi negeri juga menunjukkan kemerosotan selepas kemasukan pelabur semakin berkurangan”.

Sesungguhnya, hanya orang buta tidak dapat melihat kejayaan cemerlang kerajaan pimpinan DAP-PR Pulau Pinang. Mungkin kerana senjata sentimen perkauman BN tidak berjaya, mereka mengalihkan tumpuan memfitnah dengan cara jijik sebegini.

Rumah untuk rakyat: Cemerlang PR

Tahukah BN bahawa sejak 2008, Kerajaan Negeri melalui Penang Development Corporation (PDC) telah membina 4,000 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah manakala 8,000 unit lagi disumbangkan pihak swasta menjadikan jumlah keseluruhan 12,000 unit?

Tahukan BN bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP memperuntukkan RM500 juta bagi merealisasikan Skim Perumahan Mampu Milik di negeri ini?
Tahukah BN bahawa RM500 juta ini dapat disediakan dengan penjualan tanah kerajaan negeri melalui tender terbuka?

Tahukah BN bahawa kerajaan negeri mahu melaksanakan pembinaan 19,172 lagi unit rumah mampu milik di Pulau Pinang iaitu lebih besar berbanding negeri lain?

Tahukah BN bahawa dalam tempoh di antara Ogos 2008 dan Julai 2012, sebanyak 14,702 unit kos rendah dan kos sederhana rendah sudah mendapat sijil layak menduduki (CF) dikeluarkan MPPP dan MPSP membabitkan 47 projek iaitu di pulau dan tanah besar?

Tahukah BN bahawa kerajaan Pulau Pinang memainkan peranan dalam memudahkan pembinaan rumah yang berpatutan seperti projek Desa Nipah (Balik Pulau) iaitu apartmen lima tingkat yang dijual dengan harga RM35,000 seunit?

Tahukah BN ada rumah bandar yang dijual dengan harga RM38,000 di Taman Sungai Rock BRP, Seberang Perai?

Tahukah BN bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang membaik pulih rumah yang ditinggalkan BN termasuk 170 unit pangsapuri Rifle Range yang terbiar lebih 10 tahun untuk disewa keluarga miskin serendah RM90 sebulan?

BN cemburu urus tadbir PR

Tahukah BN bahawa warisan hutang RM600 juta yang ditinggalkan kerajaan BN kini tinggal RM30 juta yang diurus kerajaan DAP-PR Pulau Pinang?

Tahukah BN bahawa kerajaan yang diterajui DAP juga memperuntukkan RM64.03 juta pada 2012 kepada urusan hal ehwal Islam berbanding hanya RM25.7 juta ketika kerajaan BN sebelum Mac 2008?

Tahukah BN bahawa antara program kebajikan tahunan yang dilaksanakan di Pulau Pinang ialah Program Penghargaan RM100 Warga Emas, Program Bantuan OKU, Program Penghargaan Ibu Tunggal, Program Pelajar Emas dan RM200 untuk Program Anak Emas serta bantuan “One-Off” IPTA emas sebanyak RM1,000 serta pengurusan jenazah sudah terkenal seluruh Malaysia dan sinonim dengan rakyat Pulau Pinang.

Tahukah BN bahawa banyak lagi yang mereka harus belajar daripada Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng ini? Atau mereka buat-buat tidak tahu?-Roketkini.com