Rencana

Fokus PRU13: Negeri Sembilan menyusul masuk ‘zon terhad’ kerajaan sementara

Oleh: Wartawan TheRocket dan Roketkini

SETELAH kerajaan Persekutuan BN tamat tempoh hayatnya pada 8 Mac lalu dan kini menjadi kerajaan sementara, sekarang ini Negeri Sembilan Darul Khusus pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyusul.

Jadi, sudah tentu zon terhad kerajaan sementara itu perlu mematuhi segala ‘pantang-larang’ yang diperuntukkan undang-undang. Antaranya tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar kecuali dalam hal yang amat penting tetapi perlu berbincang dengan pembangkang. Ia termasuk larangan membuat atau mengadakan sebarang kontrak atau tender projek besar.

Sudah tentu menjadi kerajaan sementara merimaskan banyak pihak apatah lagi ia pertama kali berlaku dalam sejarah negara.

Debaran dan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 semakin memuncak, seolah-olah tidak tertahan lagi. Dalam congakan rambang dilakukan, semakin lama Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubar, semakin kuat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR). Begitulah situasi sebenar di mana-mana pun di seluruh negara.

Wartawan Roketkini.com dan The Rocket mengambil peluang menjejakkan kaki ke negeri Tanah Adat untuk mendekati dan memahami lebih lanjut situasi politik di negeri itu.

“Rakyat Negeri Sembilan mahu tukar kerajaan”

Menurut Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin, wujud perbezaan yang sangat ketara sokongan rakyat kepada PR berbanding sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Katanya, jika diimbas kembali PRU ke-12, BN hampir tumbang walaupun sebelum himpunan Bersih 2.0 dan 3.0, kes lembu, Himpunan Kebangkitan Rakyat dan sebagainya diadakan.

“Tapi bila himpunan, pendedahan dan peristiwa besar itu berlaku, jelas mood positif rakyat Negeri Sembilan kepada PR. Kalau dulu kita buat ceramah berkelompok, yang datang hanya kira-kira 50 orang, tetapi sekarang boleh capai 200 orang.

“Tambahan pula skandal Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan membabitkan pindahan wang RM10 juta ke London belum selesai. Namun SPRM nampaknya tidak berminat untuk menyiasat kes itu, jadi kita bawa ia kepada rakyat yang sekarang sudah menjadi buah mulut orang ramai,” ujar beliau.

Masalah ekonomi jerat rakyat Negeri Sembilan – BN tak pandai urus

Ditanya mengenai masalah utama di Negeri Sembilan, Kee Chin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, masalah ekonomi menjadi antara isu pokok selain hak milik tanah.

“Kerajaan gagal memanfaatkan banyak kelebihan Negeri Sembilan. Negeri tanah beradat ini boleh jadi satu tarikan untuk industri pelancongan. Boleh dipakejkan. Sekarang bila sebut Negeri Sembilan orang hanya kenal Port Dickson. Orang tidak kenal keistimewaan Kuala Pilah dan daerah lain.

“Saya ambil contoh terdekat seperti jiran kita Melaka, Negeri Sembilan memang jauh tertinggal daripada sudut ekonomi apa lagi kalau nak dibandingkan dengan negeri lain yang ditadbir PR,” katanya.

Tambah mengecewakan, menurut beliau adalah apabila Mohamad Hasan memperkenalkan idea “Menetap di Seremban, bekerja di Kuala Lumpur” yang secara langsung membuktikan seolah-olah ibu negeri Negeri Sembilan ini bukan tempat yang sesuai untuk mencari rezeki.

“Sepatutnya kalau duduk di Seremban, bekerja pun di Seremban lagi pun kos sara hidup di sini masih rendah berbanding Lembah Klang.

“Kita ada kawasan industri, kenapa kerajaan negeri tidak berinisiatif memajukan lagi perindustrian negeri ini supaya rakyat Negeri Sembilan, khususnya Seremban tidak perlu keluar untuk bekerja di negeri lain,” jelasnya.

Taktik ‘kuno’ UMNO perangkap Melayu

Akibat terdesak kerana kemaraan PR yang semakin diterima baik termasuk di kawasan pedalaman, UMNO yang sebelum ini diakui kukuh berakar-umbi di sana kini terancam apabila satu persatu skandal pemimpin mereka terbongkar.

Justeru itu, bagi mengekalkan sokongan orang Melayu terus bergantung kepada mereka, UMNO menggunakan isu kaum sebagai modal politik. Antara isu yang sering dimainkan ialah ‘Melayu hilang kuasa dan isu Menteri Besar Cina jika PR memerintah.

“Majoriti adalah orang Melayu. Kita semua tahu, jadi untuk menempelak fitnah UMNO-BN, pada pelancaran manifesto PR Negeri Sembilan 3 November 2012 lalu, kita dah tegaskan sekiranya PR menang, orang Melayu akan jadi Menteri Besar.

“Kita (DAP) tak pernah bangkitkan isu Menteri Besar daripada orang Cina, ini kerja UMNO nak takutkan orang Melayu. Sebab itu kita memang bagi fokus menjelaskan perkara ini dalam program kita di kawasan pedalaman,” katanya.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kawasan DUN dan pada PRU 2008 lalu, 21 kerusi DUN dimenangi BN manakala 15 kerusi lagi dimenangi gabungan oposisi PR iaitu 10 oleh DAP, PKR (empat) dan PAS (satu). – Roketkini.com