Berita

Kerajaan PR Pulau Pinang ambilkira reaksi rakyat mengenai 4 projek atasi kesesakan lalulintas

GEORGE TOWN, 28 MAC: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tetap mengambilkira pelbagai reaksi rakyat hasil daripada dailog dan taklimat yang diadakan selama 18 bulan sebelum memeteraikan perjanjian dengan kontraktor bagi melaksana empat projek termasuk tiga lebuhraya dan satu terowong bawah dasar laut bernilai RM6.3 bilion bagi menyelesaikan kesesakan teruk lalulintas di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinag, Lim Guan Eng berkata, pelbagai reaksi khususnya daripada anak muda yang menghadiri dialog dan mesyuarat menunjukkan mereka memberi sokongan padu terhadap inisiatif kerajaan negeri PR melaksanakan projek itu.

Katanya, pada dua perhimpunan beberapa hari lalu, termasuk makan malam di kalangan masyarakat Cina, di Butterworth, dan dialog di Dewan Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU), kebanyakan yang hadir menyokong cadangan kerajaan negeri PR melaksanakan tiga projek lebuhraya dan satu terowong bawah dasar laut menghubungkan Pesiaran Gurney dan Bagan Ajam.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan laporan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PPIPP) yang menggariskan langkah yang boleh diambil untuk mengatasi kesesakan lalu-lintas di negeri itu.

“Adalah tidak benar dakwaan pihak tertentu bahawa projek terowong bawah dasar laut tidak termasuk dalam PPIPP.

“Tiga sebab utama rakyat menyokong empat projek itu bagi melancar perjalanan trafik di antara SPU dan pulau, menolak cadangan mengenakan bayaran bagi setiap kenderaan yang masuk ke Pulau Pinang dan memaju serta menggerakkan pertumbuhan ekonomi di SPU supaya tidak terpinggir selepas Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan mempunyai jambatan ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media, di Komtar, semalam..
.
BN cuba sabotaj dan gagalkan projek
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, rakyat menerima penjelasan kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai usaha kuat dalam tempoh lima tahun untuk mewujudkan system pengangkutan awam yang berkesan.

Katanya, malangnya kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa mutlak ke atas pengangkutan awam menolak tiga inisiatif kerajaan negeri, termasuk menubuhkan syarikat pengangkutan awam untuk membolehkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membeli bas, membayar RM10 juta kepada Rapid Penang setiap tahun supaya menyediakan perkhidmatan bas percuma di seluruh Pulau Pinang ketika waktu puncak dan menyokong kerajaan Pusat membina monorel yang dijanjikan BN sejak 2006 tetapi sehingga kini janji masih belum ditepati.

“Kerajaan Pusat jelas gentar sebab itu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menentang projek infrastruktur itu takut ia akan menyerlahkan kemampuan kerajaan negeri PR.

“Bagi mengelak kerajaan Pusat menghalang projek terowong bawah dasar laut, kerajaan negeri bersetuju mengenakan tol pada kadar yang sama dengan Jambatan Kedua. Sekiranya terowong tidak dikenakan tol, kerajaan Pusat boleh menyaman kerajaan negeri kerana menggagalkan kutipan tol Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang dijangka siap September ini, kerana pengguna kenderaan tentu akan memilih terowong,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mencipta sejarah apabila memberi konsesi tol yang tidak menjamin jumlah kenderaan untuk tempoh 30 tahun berbeza dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang diberi tempoh 45 tahun dengan jaminan jumlah kenderaan, ini bermakna kerajaan Pusat akan bayar gantirugi sekiranya bilangan kenderaan yang menggunakan Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak mencukupi.

BN tak boleh, Melayu boleh!
Menurut Guan Eng, kerajaan negeri berani melaksanakan empat projek berkenaan secara tender terbuka dan anugerah diputuskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait kerana tidak mahu anak muda terus menjadi mangsa “traffic jam” kerana kerajaan Persekutuan enggan bekerjasama.

“Sebuah syarikat Bumiputera memenangi tender terbesar dalam sejarah Pulau Pinang dengan harga terendah RM6.3 bilion, sekaligus membuktikan amalan sistem tender terbuka kerajaan negeri PR dapat memilih dan memartabatkan kontraktor Melayu yang pandai buat kerja bukan sekadar pandai berpolitik.

“Fitnah BN bahawa tender RM6.3 bilion diberi kepada syarikat bermodal RM2 terbukti tidak benar sama sekali apabila empat syarikat yang menandatangani surat penerimaan kontrak itu memiliki modal berbayar sebanyak RM4.5 bilion. Pembayaran RM6.3 bilion pula bukan secara tunai tetapi melalui gantian tebus guna tanah seluas 110 ekar.

“Berbeza dengan kerajaan negeri BN yang memberi 325 ekar tanah untuk projek RM325 juta untuk Lebuhraya Jelutong. Yang lebih serius adalah projek membina jambatan di Sarawak sebanyak RM947 juta di mana kerajaan negeri Sarawak membuat pembayaran tunai sebanyak RM747 juta, manakala baki RM200 juta dibayar dengan tanah seluas 100,000 ekar,” katanya. – Roketkini.com