Berita

PRU-13: BN akui manifesto PR relevan, bukti kepimpinan Najib lemah

KUALA SELANGOR, 8 APR: Walaupun dilihat hipokrit memplagiat sebahagian besar Manifesto Pakatan Rakyat, tindakan Barisan Nasional (BN) itu secara tidak langsung mengakui bahawa tawaran PR adalah relevan dan mempunyai perhitungan wajar.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, BN tetap tidak mampu menyediakan kepimpinan yang berintegriti kerana terbukti gagal menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan wang negara sejak sekian lama.

Tambahnya, tohmahan jahat BN memburuk-burukkan Manifesto Rakyat sebelum ini juga ibarat senjata makan diri apabila sebelum ini mereka mendakwa tawaran PR itu bakal mufliskan Malaysia.

“Baru beberapa bulan lalu hulubalangnya termasuk Ahli Parlimen Rembau berhujah di Dewan Rakyat bahawa amat tidak munasabah untuk menghapuskan ‘cukai eksais’ kerana akan kehilangan RM7 bilion setahun dan negara akan bankrap. Tapi bila mereka tawarkan perkara yang sama, kenapa diam?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selain menyalin terus sebahagian besar dasar daripada Manifesto Rakyat, tawaran BN dalam manifesto mereka turut mengabaikan masalah makro-ekonomi 4D iaitu hutang (debt), defisit, penipuan daripada rasuah (deceit) dan aliran keluar kepakaran (brain drain) yang akan membantutkan usaha untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.

“Sehingga 31 Disember 2012, hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM502 bilion iaitu peningkatan sebanyak 89 peratus berbanding pada akhir 2007 sebanyak RM266 bilion. Defisit juga semakin teruk dengan unjuran sebanyak RM59.7 bilion dalam Belanjawan 2012 yang merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah Malaysia,” jelas Guan Eng.

Selain itu, negara menyaksikan pengaliran keluar modal haram RM872 bilion sepanjang tempoh 10 tahun bermula dari 2001 hingga 2010 dan berada di belakang Mexico (RM1,450 bilion) dan China (RM8,360 bilion), ia sekaligus membuktikan kelemahan kualiti kepimpinan BN yang tidak serius, tidak berintegriti, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab.- Roketkini.com