Rencana

Menilai semula ‘mitos syukur’ bersama Kasthuri Patto: “Syukur yang bagaimana?” Oleh Hafiz Zainuddin

“KERAJAAN sudah berjasa, buat jalan, bagi elektrik, adakan perkhidmatan air, maka bersyukurlah, berterima kasihlah, sokonglah kerajaan ini….”. Ungkapan ini sering kita dengar dalam media dan di mana saja ada pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam majlis makan-makan.

Pepatah Melayu ada menyebut, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Benar bagai dikata, tetapi dalam soal hubungan kerajaan dan rakyat, orang yang memberi (kerajaan) tidak akan mampu memberi apa-apa tanpa adanya rakyat yang membayar cukai kepada mereka.

Nilai moral; ‘syukur’ perlulah jelas dan fleksibel, jika tidak, ia bakal mencipta satu penjara minda yang mengepung daya fikir umat. Umpama isteri yang ‘makan hati berulam jantung’ bila suaminya meninggi suara dan berkata “Akulah ketua keluarga, kau diam!”

Seruan syukur yang diseleweng

Seruan agar bersyukur sering diselewengkan daripada maksud asal apabila ia dijadikan peluru politik demi melangsungkan kuasa pemerintah BN. Realitinya, pentadbiran BN ditempel penuh dengan lintah-lintah politik yang sedang menjahanamkan ekonomi negara dengan monopoli ekonomi dan budaya kronisma. Akhirnya, hasil titik peluh petani dan nelayan yang membanting tulang empat kerat mereka bagai tidak tersisa.

Disebabkan konsep syukur yang diselewengkan inilah rakyat seperti kita terpaksa menanggung beban dan bebal ahli politik BN yang silih berganti sehingga ke saat ini. Dalam masa yang sama, setelah memberi BR1M dan lain-lain, mereka tidak segan-silu meminta kita agar bersyukur dengan menterjemahnya ke atas kertas undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal menjelma bila-bila masa.

Wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin berkesempatan menemubual ringkas aktivis muda DAP, Kasthuri Patto, yang berpengalaman bertugas di pejabat Exco Kerajaan Negeri Selangor dan menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Kini beliau gigih memberikan perkhidmatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing meneruskan kelangsungan perjuangan mendiang Edward Lee. Foto oleh Jurugambar Muhamad Afendy.

Rakyat ada kuasa lantik ‘pengurus negara’

“Kamu harus sedar, kamu tidak mengangkat rakyat menjadi pengurus negara tetapi rakyat yang melantik kamu sebagai pengurus, justeru, semestinya menjadi tanggungjawab kamu untuk menjaga kebajikan rakyat.”

Demikian kata Pembantu Khas Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Kasthuri Patto ketika menjawab kesombongan kerajaan sementara Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa merekalah juara yang berjasa mendahulukan rakyat dalam segala dasar yang dilaksanakan selama ini.

“Jasa yang mereka maksudkan itu adalah tanggungjawab hakiki mereka kepada rakyat yang membayar cukai. Ia merupakan komunikasi dua hala. Macam peniaga dan pembeli.

“Amat tidak wajar sekali sehingga menyebabkan mereka angkuh kerana seluruh rakyat Malaysia memang berhak mendapat layanan dan perkhidmatan yang baik daripada kerajaan,” jelas beliau.

Kasthuri berkata slogan “rakyat didahulukan” juga tersasar daripada maksud yang sepatutnya mencerminkan tindakan proaktif kerajaan menyantuni masalah rakyat, sedangkan apa yang slogan itu seolah-olah dijadikan alat kepada proses indoktrinisasi agar rakyat mempunyai sifat kebergantungan yang kuat kepada kerajaan.

“Daripada sifat kebergantungan itu, konsep kerajaan dalam demokrasi yang mengatakan bahawa rakyat adalah bos sudah terbalik. Pemahaman kita diserongkan. Kita diminta untuk bersyukur. Ya, itu memang tidak salah tapi istilah itu yang disalahguna,” katanya.

Tebus maruah, berani berubah

Justeru, Kasthuri mahu rakyat Malaysia sedar dan berani melakukan perubahan pada PRU-13 nanti kerana tanpa perubahan, negara akan terus ditadbir ‘pengurus’ yang rasuah dengan segala agenda pembodohan rakyat dengan mainan sentimen perkauman yang telah lama menjadi amalan.

“Kejahatan, ketamakan, pembohongan akan menang jika kita, rakyat yang sedar ini tidak berbuat apa-apa,” kata beliau mengakhiri perbualan itu.

Mitos syukur yang dijaja UMNO-BN selama ini menyebabkan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu terperangkap dengan nilai etika bangsa yang disesatkan. Lantas, perkara itu dijadikan batu loncatan oleh pemimpin UMNO-BN untuk terus berkuasa tanpa peduli kepada masalah pokok rakyat dan negara iaitu isu ekonomi dan penyelewengan. Benar kata Kasthuri, semua kita harus melakukan perubahan.

Seharusnya, pemimpin UMNO dan BN yang perlu bersyukur kerana walaupun telah banyak kekayaan negara dirompak. Rakyat masih boleh bersabar, teguh bersama Perlembagaan Persekutuan, demokrasi dan masih bertahan untuk tidak mengheret mereka seperti mana terheretnya Hosni Mubarak dan Zainal Abidin Ali ke lembah jahanam. – Roketkini.com