Berita

Pertempuran Gelang Patah untuk capai dua matlamat penting

SENAI, 9 APRIL: ‘Pertempuran Gelang Patah’ bukan sekadar pertempuran demi Lim Kit Siang, DAP atau Pakatan Rakyat (PR), malah ia satu pertempuran bagi semua rakyat Malaysia, negara dan generasi akan datang, dengan dua matlamat penting, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pertama, pertempuran itu akan melancarkan tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dari Selatan yang akan merebak ke seluruh negara, merentas Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak, bagi menyelesaikan ‘kerja tertangguh’ tsunami politik PRU 2008 yang menyaksikan kejatuhan UMNO/Barisan Nasional (BN) di lima negeri dan penafian majoriti dua pertiga Parlimen terhadap UMNO buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Menurut beliau, tsunami politik 2008 bermula dari utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dan merebak ke Perak (walaupun kurang setahun kemudian berlaku rampasan kuasa secara tidak demokratik, tidak sah dan melanggar undang-undang perlembagaan yang direncana Datuk Seri Najib Razak; dan kini sedang menanti dikembali semula kepada PR pada PRU-13) dan Selangor, kemudian terhenti di Negeri Sembilan lantas meninggalkan tiga negeri deposit tetap Johor, Sabah dan Sarawak seakan tidak tersentuh.

Bagaimanapun, katanya, tsunami politik 2008 membawa anjakan tektonik dalam lanskap politik negara, kerana lima tahun sebelum itu tidak disangka dan tidak mungkin sesiapa berharap dan mengimpikan bakal terjadinya perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan melalui peti undi.

“Namun kini, perubahan kuasa demokratik untuk pertama kali dalam sejarah 56 tahun Malaysia bukan sahaja sesuatu yang mungkin boleh terjadi, malah hampir pasti berlaku; itu sebabnya Najib Razak begitu terseksa untuk mengumumkan pembubaran Parlimen sepanjang empat tahun lalu bagi membolehkan PRU-13 diadakan.

“Sekiranya tsunami politik 2008 masih belum mencapai kapasiti maksimum untuk perubahan kerajaan Persekutuan secara aman dan demokratik pada PRU-13 nanti, PR mesti mencapai kejayaan yang signifikan di tiga negeri deposit tetap BN iaitu Johor, Sabah dan Sarawak yang memiliki sejumlah 83 kerusi Parlimen untuk memenangi lebih daripada satu pertiga atau 33 kerusi atau kira-kira 40 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen di tiga negeri berkenaan,” katanya ketika berucap di Senai, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ‘Pertempuran Gelang Patah’ adalah bagi mencapai impian ke arah Bangsa Malaysia yang majmuk dan bersatu padu melampaui semangat perkauman sepertimana yang diharapkan pemimpin agung Melayu Johor dan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaffar enam dekad lalu.

“Pakatan Rakyat akan menempa jalan untuk membentuk kerajaan baru di Putrajaya dan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada satu lagi keunikan yang signifikan dalam Pertempuran Gelang Patah – merealisasikan Impian Malaysia mengharapkan sebuah masyarakat majmuk di mana semua warganya bersatu sebagai satu bangsa, melampaui perbezaan etnik, agama, budaya dan bahasa.

“Datuk Onn tidak menyenangi dasar perkauman UMNO dan menyeru supaya UMNO membuka keahliannya kepada semua warga Malaya pada 1951 di samping mencadangkan supaya UMNO diubah namanya menjadi United Malayans National Organisation.

“Apabila cadangan tidak dipeduli, Onn Jaafar meninggalkan UMNO pada 26 Ogos 1951 bagi menubuhkan Parti Malaya Merdeka. Anak Onn, Tun Hussein Onn, turut berkongsi impian itu, walaupun saya tidak pasti sama ada cucunya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bersetuju dengan bapa dan datuknya mengenai impian itu.

“62 tahun selepas seruan Datuk Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu dan mengubah nama UMNO menjadi United Malayans National Organisation, maka sangat sesuai sekiranya panji Impian Malaysia yang dijulang sekalian patriot Malaysia zaman berzaman diangkat semula demi meraih sokongan dan persetujuan rakyat Gelang Patah, Johor dan seterusnya Malaysia pada PRU-13 nanti,” katanya.-Roketkini.com