Rencana

Ombak Melayu, Tsunami Cina, ombak rindu, tsunami cinta oleh Izmil Amri

168 jam. Tujuh hari. Satu minggu. Lebih kurang. Demikian lamanya masa yang saya ambil untuk pulih daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, pada 5 Mei lalu. Begitu berat kecewa yang ditanggung sehingga terlupa bahawa Pakatan Rakyat tidak kalah, malah berjaya mendapat lebih banyak kerusi dan menggugat kerusi kerajaan United Malays National Organisation.

BN sudah hampir tidak ada. Yang masih kekal cuma UMNO. Parti komponennya hampir pupus belaka. Koh Tsu Koon bakal letak jawatan, Chua Soi Lek juga. Hanya Presiden UMNO yang masih menghitung hari dan berhadapan dengan kemarahan ahli partinya kerana kegagalannya mengangkat UMNO daripada debu kekalahan Mac 2008.

Ya, kita semua sudah sedia maklum bahawa meskipun kelihatan seolah-olah Pakatan Rakyat kehilangan negeri Kedah serta tidak berjaya mendapatkan semula negeri Perak dan Terengganu, serta hampir merangkul Negeri Sembilan; prestasi Barisan Nasional jauh lebih teruk berbanding apa yang mereka dapat pada 2008 dulu.

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh menarik nafas lega kerana julukan ‘Perdana Menteri paling mandom’ sudah boleh diserahkan kepada penggantinya, yakni suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib juga kini boleh menarik nafas lega kerana akhirnya bergelar Perdana Menteri dengan mandat rasmi hasil daripada pilihan raya; dan bukannya mandat warisan seperti tahun sebelumnya. Tahniah kepada beliau atas pencapaian tersebut, meskipun pencapaian sedemikian tidak boleh dibanggakan sangat.

Tidak beradab kalau saya tidak menanti sampai tun Mahathir bersuara terlebih dulu sebelum memberi sebarang komen kepada persembahan Najib Razak yang begitu teruk dan mandom, lewat pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 awal pagi Isnin lalu. Mahathir patut terlebih dulu mengutuk kelemahan dan kegagalan Najib Razak, kemudian baru boleh saya membuat ulasan.

Ombak Melayu, ombak rindu

Ada sangkaan yang cuba dipaterikan ke dalam otak kita kononnya yang memonopoli kebangkitan dan kesedaran politik rakyat 5 Mei lalu adalah orang Cina. Seolah-olah orang Melayu ini tidak boleh berfikir sendiri dan terlalu benak sehingga tidak tahu baik buruk parti pemerintah.

Inilah dia kegagalan gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri yang gagal mendapatkan kembali majoriti dua pertiga BN. Kegagalan bertimpa-timpa ini seakan satu sumpahan yang mengakibatkan kedangkalan akal fikir sehingga tanpa berkira panjang terus menyalahkan gelombang tsunami Cina.

Eh Datuk Seri Perdana Menteri. Melayu dan India yang menolak kamu ini pun Cina juga? Yang kamu beriya pakai pakaian tradisi Cina di Pulau Pinang demi menarik undi mereka itu apa? Kalau kamu menang, kamu akan berterima kasih kepada tsunami Cina juga kan wahai Najib Razak?

Tidak, jangan berani membangkitkan sentimen perkauman bila kamu sendiri tahu kamu gagal menawan hati pengundi tanpa mengira kaum apa pun. Keluarga saya sendiri mengundi DAP kali ini. Pertama kali dalam sejarah, sebuah keluarga yang hampir 80% ahli UMNO semuanya mengundi DAP. Ini salah DAP atau salah kegagalan kamu sebagai Perdana Menteri?

Orang Melayu merindukan perubahan; ini tidak boleh disangkal. Matematik mudah – Pakatan Rakyat terima 51% undi popular. 20% daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia adalah pengundi Cina. Jadi baki daripada 51% undi popular ini undi makhluk apa? Kenapa pula mereka tidak mengundi BN kalau bukan kerana kesedaran terhadap rasuah dan salah guna kuasa BN?

Tsunami Cina, tsunami cinta

Utusan Malaysia, akhbar milik UMNO; sejak pengumuman keputusan PRU lalu telah dengan tidak bertanggungjawab cuba membangkitkan sentimen perkauman. Paling keji adalah tajuk muka depannya, “Apa lagi Cina mahu?” yang saya gagal fahami apa sebenarnya tujuan tajuk itu.

Mungkin ia sengaja mahu tahu apa yang orang Cina mahu supaya lain kali BN boleh bekerja ke arah itu. Itu pastilah kerja terpuji kerana peduli kehendak dan suara hati rakyat.

Namun apa yang dilakukan Utusan Malaysia si lidah parti UMNO ini adalah tidak lain mencuba untuk membangkitkan kemarahan umat Melayu terhadap jiran tetangga berketurunan Cina. Inilah kejahatan golongan ekstremis dalam UMNO yang sentiasa cuba memporak-perandakan negara demi kepentingan politik sendiri. Membelakangi nilai yang ia sendiri propagandakan dalam gagasan 1Malaysia.

Ya memang mungkin majoriti pengundi Cina menolak Barisan Nasional. Penolakan besar-besaran ini sepatutnya diambil sebagai iktibar oleh BN, terutamanya ‘parti-parti Cina’ dalam koalisi itu; MCA dan Gerakan. Bukannya dijadikan asas pergeseran kaum yang selama ini cuba dibina BN sendiri. Ini namanya ‘counter-productive’.

BN ternyata tidak belajar daripada kegagalan 2008. Malah masih degil meneruskan agendanya yang sudah semakin tidak mendapat tempat di hati masyarakat.

Selalunya anak-anak yang degil ini, dirotan ibu bapanya. Pemerintah degil kita nak buat apa? -Roketkini.com