Berita

Peristiwa 13 Mei 1969 adalah fitnah terbesar terhadap DAP

KLUANG, 13 MEI: Permainan politik perkauman melampau yang dijaja BN sehingga rakyat yang memilih Pakatan Rakyat menjadi mangsa dengan pelbagai tuduhan membuktikan parti itu dalam ketakutan dan sangat terdesak untuk terus kekal berkuasa.

Ini turut membabitkan fitnah terbesar yang mengaitkan DAP dan Lim Kit Siang sebagi pencetus peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Membidas serangan peribadi yang mengaitkan beliau terhadap peristiwa hitam 13 Mei oleh bekas calon BN Shah Alam, Zulkifli Nordin, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tuduhan itu langsung tidak berasas kerana ketika itu beliau tiada di Kuala Lumpur.

“Tuduhan itu dilakukan calon BN yang ditolak orang Melayu kerana perkauman.

“Perkara ini sudah dijelaskan banyak kali. Pada masa itu saya memang tiada di Kuala Lumpur kerana ke Sabah bagi membantu kempen calon Bebas. Ini hanya fitnah untuk burukkan saya dan DAP,” jelas Kit Siang dalam satu sidang media menyokong petisyen bagi DUN Paloh dan Dun Mahkota.

Justeru, bagi memecahkan segala kekeliruan dan fitnah yang ditimbulkan UMNO-BN, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mencadangkan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat semua tuduhan yang dilemparkan.

Kit Siang pada sidang media yang sama mengumumkan pelantikan bekas calon DAP Parlimen Tanjung Piai, Mahdzir Ibrahim sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang juga Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP manakala Dyana Sofea sebagai Setiausaha Politik beliau.

Dalam kenyataannya, Mahdzir mendesak agar BN menghentikan politik perkauman jahat mereka sesuai dengan slogan 1Malaysia yang dibanggakan selama ini.

“BN, UMNO perlu baiki kelemahan diri mereka sendiri sebelum menuding jari mendakwa pemimpin DAP dan PR perkara yang tidak benar dan fitnah,” katanya.

Turut memberi kenyataan ialah bekas calon PAS DUN Mahkota, Khairul Faizi yang mendakwa BN terpaksa menggunakan cara yang sama untuk memburuk-burukkan lawan mereka.

“Dulu fitnah PAS dengan memainkan isu kafir, sekarang fitnah DAP dengan isu 13 Mei. Semua ini adalah karut dan hanya menunjukkan bahawa mereka mengamalkan dasar pecah dan perintah,” jelas beliau.-Roketkini.com