Berita

Kit Siang anggap Kabinet baru Najib paling tidak menarik

GELANG PATAH, 16 MEI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diumumkan semalam paling tidak menarik berbanding Kabinet semua Perdana Menteri sebelum ini dalam tempoh 56 tahun.

Beliau berkata, Kabinet baru itu menambah lagi ketidaksahan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas PRU-13.

“Ia bukan Kabinet untuk semua rakyat Malaysia, kerana sasaran utama Najib bagi memastikan dia berjaya dalam perebutan kuasa pada pemilihan UMNO akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, terdapat 10 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan lapan Menteri, lebih empat menteri berbanding Kabinet lalu.

“Saya tertarik dengan pertukaran jawatan Kabinet antara Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terutama selepas Hishammuddin gagal sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengurangkan jenayah, membasmi ketakutan terhadap jenayah yang menghantui rakyat Malaysia, kedua-duanya paling teruk di Johor Bahru yang menjadi ibu negeri jenayah di Malaysia.

“Saya akan berusaha untuk bertemu Ahmad Zahid untuk mengetahui sama ada dia mempunyai sebarang strategi untuk membasmi reputasi buruk Johor Bahru sebagai ibu negeri jenayah di Malaysia, dan sekiranya beliau tidak mampu mengurangkan jenayah dan ketakutan terhadap jenayah serta membuang reputasi buruk dia hendaklah mengakui kegagalannya dan memohon perubahan portfolio dalam Kabinet,” tambahnya.
.
Beliau juga menganggap pelantikan P. Waytha Moorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai satu kejutan kerana pernah bertanya Waytha ketika ke Gelang Patah untuk berkempen pada PRU13 bersama pasukan Barisan Nasional yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu “menguburkan” beliau di Gelang Patah.

Menurutnya, ketidakadilan pada keputusan PRU-13 buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia berkenaan legitimasi Perdana Menteri melahirkan secara spontan kesedaran politik “hitam” di dalam negara, seperti yang disaksikan pada 30,000 orang di perhimpunan “Black 505” di Ulu Tiram, Johor Bahru malam semalam selepas Kelana Jaya, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan.

“Rakyat Malaysia, terutamanya orang muda tidak mengira kaum, agama dan jantina, marah dengan ketidakadilan sistem demokrasi dan pilihan raya menyatakan pendirian terhadap kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap legitimasi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, memandangkan mereka rasa dirompak hak asasi demokrasi mereka untuk menentukan masa depan politik negara.

“Sekiranya PRU-13 bersih, bebas dan adil, undi popular Pakatan Rakyat dan Anwar tentu melebihi daripada 60 peratus malah mencecah lebih 65%, juga memenangi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen.

“Pelantikan Datuk Paul Low sebagai Menteri di Jabatan PM ialah satu lagi kejutan, walaupun saya tidak pasti sama ada ia akhirnya akan memudaratkan Najib atau Paul Low, memandangkan pelantikannya dikatakan mencerminkan komitmen Najib untuk membasmi rasuah di dalam negara,” katanya.-Roketkini.com