Rencana

Malaysia perlu kaca mata baru Oleh Haris Zuan

KACA mata ini tujuannya membantu kita untuk melihat dengan lebih jelas dan tepat – selain tujuan menghalang silau cahaya dan tidak kurang juga semata-mata sebahagian pilihan aksesori untuk bergaya. Namun, bagi mereka yang kabur penglihatannya, kaca mata bukan pilihan tetapi kemestian yang mandatori. Tanpa kaca mata, pastinya sukar untuk mereka yang rabun untuk melihat dan membaca. Jika kaca mata yang kita pakai tidak lagi sesuai akibat persekitaran dan keadaan mata kita yang berubah, maka kaca mata kita juga wajib diubah. Demikian juga halnya dalam membaca politik.

Apakah yang dimaksudkan dengan membaca politik ini? Membaca politik ini ertinya bagaimana kita memberi perspektif kepada sesuatu persekitaran politik dan pastinya setelah Pilihan Raya Umum ke-13 ini, persekitaran politik Malaysia menunjukkan perubahan yang sangat besar dalam pola pengundian.  Cabarannya, jika kita menggunakan kaca mata atau perspektif lama untuk mencerap keadaan semasa ini, kemungkinan besar cerapan kita itu kabur dan mengelirukan yang menyebabkan kita gagal memahami corak politik kini.

 

Kaca Mata Bersifat Kaum

Tiga puluh atau empat puluh tahun dulu mungkin tidak sukar untuk mencerap dan membaca persekitaran politik Malaysia. Pola pengundian sangat jelas dan secara kasarnya bertepatan dengan garis kaum – orang Melayu umumnya mengundi UMNO, PAS, orang Cina mengundi MCA, Gerakan dan orang India mengundi MIC. Mudah. Hal ini kerana demografi penduduk Malaysia yang terpisah mengikut kaum; Melayu di kampung, Cina di bandar, India di ladang dan estate. Taburan demografi ini sudah tentunya berkait pula dengan sektor ekonomi yang diusahakan setiap kaum ini; bertani, berniaga dan berladang. Justeru harapan politik setiap bahagian masyarakat ini lebih mudah untuk dijangka dan ditelah – maaf, oleh kerana keterbatasan ruang, huraian penulis ini memang kelihatan simplistik.

Bagi perincian lanjut, rujuklah tulisan seperti Profesor Sains Politik Arend Lijphart yang menulis buku Democracy in Plural Societies. Beliau menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan consociational politics atau politik permuafakatan di kalangan elit politik. Setiap kaum diwakili elit kaum masing-masing dengan andaian bahawa setiap kaum yang terpisah secara demografi ini memiliki hasrat dan harapan politik berbeza; maka, hanya elit politik kaum masing-masing yang paling arif akan keperluan setiap anggota kaumnya.

 

Kaca Mata Kelas Ekonomi

Cerita di atas, adalah analisis yang dibuat Prof Arend Lijphart pada 1977 – kira-kira 36 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, demografi masyarakat Malaysia telah banyak berubah. Negara kita berkembang daripada negara berasaskan pertanian kepada negara berteraskan pembuatan meskipun belum mencapai tahap negara industri sepenuhnya. Ekonomi juga menunjukkan perkembangan yang nyata daripada negara berpendapatan rendah kepada negara berpendapatan sederhana (meskipun 15 tahun terakhir ini tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa kita bergerak kepada negara berpendapatan tinggi).

Kini, hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970-1990 dan pertumbuhan ekonomi yang rancak sebelum kegawatan ekonomi pada 1997/1998, masyarakat Melayu tidak lagi secara tipikal berada di kampung. Garis ekonomi tidak lagi mengikut garis kaum. Orang Melayu tidak hanya sekadar bertani dan bertukang, manakala tidak semua orang Cina hanya berdagang. Perubahan ekonomi ini juga menyebabkan perubahan demografi penduduk. Proses perindustrian membolehkan bandar baru seperti Bayan Baru dan Pasir Gudang berkembang. Malah, tempoh ini menyaksikan penghijrahan masyarakat desa ke kota yang besar. Perbandaran atau urbanisasi menjadi rancak, bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang bertambah daripada segi saiz kawasan dan jumlah penduduk.

Perkembangan ini melahirkan kelas menengah yang boleh dikatakan agak besar di negara ini. Secara umumnya, mereka ini berpendapatan sederhana dengan pekerjaan yang baik, tinggal di bandar dan terdedah dengan perkembangan sosial serta politik semasa – mereka ini tidak kira Melayu, Cina dan India. Meskipun pada ketika ini, harapan politik mereka sarat dengan keingingan untuk mencapai pertumbuhan pembangunan ekonomi dan infrastruktur – dalam bahasa akademiknya, developmentalism – cakap-cakap berkenaan harapan ruang demokrasi yang lebih luas mula kedengaran. Oleh sebab itu, tuntutan kepada akses media yang lebih adil dan lain-lain mula kedengaran sejak akhir dekad 80-an oleh golongan kelas menengah ini yang bergerak atas medium badan bukan kerajaan (NGO).

Maka kaca mata kaum semata-mata tidak cukup untuk memahami hasrat politik ini, justeru sebagaimana yang dihuraikan di atas, kaca mata kelas sangat penting – kefahaman mengenai struktur sosio-ekonomi dan impaknya kepada politik. Persoalannya kini, apakah kaca mata kelas ini memadai untuk memahami perubahan lanskap politik setelah PRU-13 ini?

 

Kaca Mata Politik Budaya

Pada hemat penulis, perubahan politik pada PRU-13 kali ini bukan semata-mata oleh mana-mana kaum atau mana-mana kelas ekonomi. Walaupun banyak pihak termasuk Perdana Menteri yang kita kasihi mendakwa bahawa pilihan raya ini merupakan Tsunami Cina, namun berdasarkan fakta ini ternyata tidak benar. Parti Barisan Nasional menunjukkan penurunan sokongan di semua negeri termasuk negeri majoriti Melayu seperti Perlis, Terengganu dan Pahang –  kecuali Kedah (daripada 46.8% pada 2008 kepada 50.6% pada 2013). Dalam pada masa yang sama, Pakatan Rakyat memperlihatkan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 2008 di semua negeri kecuali Kelantan dan Kedah. Malah, sokongan terhadap Pakatan Rakyat di 23 kerusi majoriti Melayu seperti di Kangar, Sekijang, Jelebu, Kepala Batas, Sembrong, Simpang Renggam meningkat lebih 5 peratus.

Maka berdasarkan gambaran di atas, walaupun agak jelas Pakatan Rakyat menang di semua ibu negeri kecuali Kangar, Johor Bahru dan Persekutuan Putrajaya, namun untuk mengatakan ini bukti bahawa pengundian kali ini semata-mata atas garis demografi bandar-luar bandar juga kurang tepat.

Bagi penulis, kesimpulan awal yang boleh dibuat adalah berlaku perubahan nilai dan harapan politik yang besar dalam semua segmen masyarakat di negara ini, khasnya generasi muda yang membentuk kira-kira 3.3 juta pengundi – sebahagiannya pengundi baru. Perubahan nilai budaya politik ini terhasil daripada kemajuan teknologi maklumat yang menafikan dominasi parti pemerintah terhadap media massa.

Berdasarkan statistik daripada Internet World Stats sehingga Disember 2011; terdapat 17.72 juta pengguna internet di negara ini dengan kadar capaian sehingga 60.7% di seluruh negara (kadar capaian ini sudah pasti melebih 70% di Semenanjung Malaysia). Manakala terdapat sekitar 14 juta pengguna laman Facebook di negara ini sehingga akhir 2012.

Angka ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana capaian maklumat ini bukan terhenti pada kalangan generasi muda kerana anak muda ini akan pulang ke kampung halaman masing-masing dan akan berkongsi idea dan harapan mereka bersama orang tua dan penduduk kampung masing-masing. Di samping warga tua di kampung itu sendiri sebahagiannya sudah pandai membuka laman Youtube dan memiliki akaun Facebook masing-masing.

Perubahan nilai ini dikongsi oleh kebanyakan anggota masyarakat yang rentas kaum, status ekonomi, dan kawasan tempat tinggal. Justeru, kajian yang lebih terperinci harus dilakukan. Apa yang pasti, rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri, memerlukan kaca mata yang baru untuk membaca politik negara ini. – Roketkini.com