Rencana

Warna warni Bahasa Oleh Aishah

BAHASA tulisan diperlukan apabila kita mula meninggalkan tradisi lisan. Jadi, dalam pengertian ini, kita berbicara soal tulisan. Jika menyentuh mengenai lisan, nenek moyang kita banyak sekali meninggalkan kearifan tempatan yang berbentuk pantun, syair, petua, cerita rakyat yang diwarisi cucu cicitnya hingga hari ini. Bahasa yang digunakan dalam lisan maupun tulisan tidak jauh bezanya – sama-sama indah dan mengandungi pesan yang berguna.

 

Yang membezakan satu bahasa daripada bahasa yang lain, selain sisi teknikalnya, adalah kegunaan dan kepentingannya. Di Malaysia, bahasa menempuh sejarah panjang sebagai alat perjuangan dan penyatuan mencapai kemerdekaan, seperti cuba ditimbulkan dalam “Perjalanan Mencari Bahasa”, karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain dan sekian banyak karyanya yang lain. Peranan bahasa seperti ini juga dikongsi pengarang dari Indonesia iaitu Pramoedya Ananta Toer. Dalam konteks ini, kedua-duanya menjadikan bahasa tidak baku pada ucapan tetapi dilangsungkan dalam tindakan – sebagai medium menyedarkan massa daripada proses pembebalan, penindasan, penjajahan, dan perlecehan seksual. Justeru, bahasa di sini dapatlah dikatakan bukan sahaja untuk meluahkan rasa hati tetapi juga bagaimana ia diterjemahkan kepada satu isu yang universal sifatnya iaitu kemanusiaan.

 

Tidak sedikit orang yang menggunakan bahasa untuk komersialisme, kuasa dan kepentingan sendiri. Dan tujuan inilah yang hanya akan merendahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perjuangan, sebaliknya dianggap sebatas alat komoditi dan alat propaganda murahan. Disebabkan itu lahirnya Asas 50 di Malaysia dan tidak hairanlah Syed Nasir Ismail, Asraf Abdul Wahab, Usman Awang, Abdul Samad Ismail antaranya dituduh sebagai pelampau bahasa yang menggunakan isu bahasa kebangsaan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman waktu itu.

 

Sedikit sebanyak, kegunaannya di sini menunjukkan sisi bahasa yang mampu membaiki nasib rakyat dan membangunkan bangsa ini. Adanya sejarah membuktikan satu-satu perkara itu pernah terjadi, sebagaimana kebangkitan rakyat secara kolektif biar di Malaysia atau Indonesia pernah dan sedang terjadi. Kebangkitan atas rasa yang sama bahawa kehidupan orang Melayu berada dalam pelbagai masalah dan dilema seperti dikiaskan karya A. Samad Said (Hati Muda Bulan Muda), Shahnon Ahmad (Seketul Hati Seorang Pemimpin), Keris Mas (Saudagar Besar dari Kuala Lumpur), Anwar Ridhwan (Parasit), Usman Awang (Matinya Seorang Pahlawan-Jebat)  dan banyak lagi. Sejumlah karya ini menunjukkan usaha tidak putus-putus daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertitik tolak daripada Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa, PBmPB yang inisiatifnya sejak penghujung abad ke-19.
Tuntasnya, bahasa di sini tidak hanya memainkan peranan sebagai medium perantara dua kekasih tetapi lebih jauh lagi bahasa menentukan survival anak bangsa. Bahasa umumnya dan bahasa Melayu khasnya jelas merupakan wadah perjuangan bersama-sama dengan wujudnya manusia. Bahasa bukan hanya untuk menyampaikan kata yang muluk-muluk tetapi juga menyuarakan kemelaratan dan kemiskinan. Dan sama sekali bukan mencari persengketaan seperti “Apa lagi Cina mahu” di akhbar Utusan Malaysia berbeza dengan Utusan Melayu dahulu yang berjuang demi jatuh bangun orang Melayu bukan demi jatuh bangun UMNO. Bahasa sesuai dengan fungsinya di Malaysia ini sewajarnya mengukuhkan perpaduan sebaliknya ada cubaan meruntuhkan usaha rakyat mereka sendiri. Lebih teruk lagi bahasa Melayu yang menjadi lambang identiti kita dipertontonkan kepada rakyat dengan cara yang paling hodoh – cerca dan caci maki.  Semoga warna warni bahasa tidak mempalitkan ke muka kita warna arang! – Roketkini.com