Rencana

Biar 526 menjadi titik sejarah merealisasikan Impian Rakyat Malaysia.

(Kenyataan media Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang)

SAYA amat terkejut mendengar kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah, yang saya anggap sebagai ucapan paling bersifat perkauman dan bertujuan menghasut dalam tempoh 44 tahun ketika forum “Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” pada Ahad yang menyelar orang Cina kerana bersikap “Cina dahulu” mengatasi identiti Malaysia mereka.

Sepanjang 47 tahun berkecimpung di dalam politik, saya sentiasa mendahalu dan menganggap diri saya rakyat Malaysia dan tidak pernah menganggap diri saya hanya sebagai seorang Cina, tetapi sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina yang taat setia tidak berbelah bahagi kepada bangsa Malaysia, dengan perjuangan yang sama dengan semua rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama atau kawasan bagi membangunkan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Mohd Noor amat silap apabila mengambil petunjuk daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mendakwa keputusan PRU-13 berpunca daripada “tsunami Cina” sedangkan ia adalah tsunami rakyat Malaysia dan kawasan bandar.

2.29 juta pengundi Cina di Semenanjung Malaysia mengundi Pakatan Rakyat pada PRU-13, 5 Mei lalu bukan sebagai pengundi Cina tetapi sebagai pengundi Malaysia, seperti mana 2.31 pengundi Melayu dan 400,000 pengundi India di Semenanjung Malaysia juga mengundi calon DAP, PAS dan PKR bukan sebagai pengundi Melayu atau India tetapi sebagai pengundi Malaysia!

Mohd Noor membidas rakyat Malaysia berketurunan Cina kerana menjadi “Cina dahulu” tetapi dia tidak mengkritik Melayu seperti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengumumkan dirinya “Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian”.

Malah, berapa ramai di kalangan 30 Menteri dan 27 Timbalan Menteri yang diumumkan Najib tiga hari lalu bersedia secara terbuka menolak Muhyiddin dan mengisytiharkan diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu dan kemudian barulah kaum, agama, kawasan kerana ia adalah matlamat dasar 1Malaysia Najib?

Najib sendiri sehingga hari ini tidak secara terbuka mengisytiharkan komitmen penuhnya kepada dasar 1Malaysia dan mengumumkan bahawa dirinya “Rakyat Malaysia dahulu, Melayu kemudian” kerana beliau akan kelihatan secara terbuka berkonflik dengan Timbalan Perdana Menterinya yang semakin berkuasa!

Untuk makluman Mohd Noor, saya telah mengisytiharkan di Parlimen pada Mac 2010 bahawa saya adalah rakyat Malaysia dahulu, Cina kemudian. Adakah Mohd Noor membuat pengisytiharan sama bahawa dia adalah rakyat Malaysia dahulu, Melayu kemudian.

Sekiranya Mohd Noor tidak bersedia untuk menjadi teladan rakyat Malaysia, hak apa yang dia ada untuk memalukan profesyen undang-undang dan kehakiman dengan membuat ucapan yang paling bersifat perkauman dan menghasut dalam tempoh 44 tahun ini di ruang awam rakyat Malaysia?

Semua pemimpin UMNO dan intelektual khidmat luar mereka seperti Mohd Noor mesti belajar bahawa kesetiaan kepada Malaysia tidak boleh disamakan dengan kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah, lebih-lebih lagi kepada hagemoni politik perkauman UMNO yang berasaskan rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang menjijikkan.

Ucapan Mohd Noor yang sangat bersifat perkauman dan menghasut merupakan peringatan perjalanan masih panjang sekiranya rakyat Malaysia mahu merealisasikan Impian Rakyat Malaysia – yang mana semua rakyat Malaysia setia tidak berbelah bahagi kepada negara, berkongsi satu tanah air dan bersatu sebagai satu bangsa untuk membangunkan kegemilangan negara terhasil daripada yang terbaik daripada kalangan kaum, agama dan budaya pelbagai yang menjadikan Malaysia rumah mereka supaya Malaysia mampu menjadi negara peneraju di dunia dalam semua bidang.

Impian Rakyat Malaysia bukan wujud hari ini, sebaliknya telah wujud sebelum penubuhan Malaya dan Malaysia.

Biar makan malam meraikan kejayaan rakyat di Gelang Patah menjadi batu tanda bagi merealisasikan Impian Rakyat Malaysia yang berbilang kaum bangkit mengatasi batasan kaum seperti yang dibayangkan seorang pemimpin Melayu hebat Johor dan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaffar enam dekad lalu.

Walaupun Datuk Onn merupakan Presiden UMNO, beliau semakin tidak berpuas hati dengan dasar perkauman UMNO, menyebabkan beliau pada 1951 menyeru agar keahlian UMNO dibuka kepada semua rakyat Malaya dan mencadangkan agar UMNO dinamakan semula sebagai United Malayans National Organisation.

Datuk Onn terlalu melangkaui zamannya. 62 tahun kemudian, baton Impian Rakyat Malaysia kini mestilah disambut dan diteruskan generasi rakyat Malaysia, tidak kira kaum, agama atau kawasan.

Johor Bahru hari ini lebih teruk daripada 62 tahun lalu iaitu pada 1951 – memandangkan Johor Bahru tidak selamat untuk pelajar, penduduk, pelancong dan pelabur kerana ia menjadi ibu negeri jenayah di Malaysia, yang terdapatnya insiden jenayah tertinggi dengan kes ketakutan terhadap jenayah oleh rakyatnya paling buruk dalam negara.

Serangan jenayah dan tidak berperikemanusiaan ke atas seorang cikgu bersara Goh Kim Hock, 68, berhampiran Maybank di Jalan Perwira 17, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor, empat hari lalu, dengan Goh masih dalam keadaan koma, merupakan jenayah terkini di Johor Bahru – dan amat tragis jenayah di Johor Bahru menjadi begitu biasa sehingga jenayah terhadap Goh tidak dianggap “berbaloi” untuk dilaporkan di dalam berita media Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Biar kita semua sedar Impian Rakyat Malaysia, termasuk memulihkan hak asasi keselamatan semua rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan kawasan baik di jalanan dan tempat awam lain atau privasi kediaman mereka.

Biar 526 menjadi satu lagi titik sejarah dalam perjalanan rakyat Malaysia untuk merealisasikan Impian Rakyat Malaysia.-Roketkini.com