Berita

Zahid Hamidi perlu buktikan keberanian berdebat: Guan Eng

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu membuktikan keberaniannya untuk berdebat sehari penuh sebagai menyahut cabaran usul celaan pemimpin DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu sudah mengumumkan beliau akan mengemukakan usul celaan terhadap Ahmad Zahid kecuali Menteri Dalam Negeri itu meminta maaf kerana meminta rakyat Malaysia yang tidak menerima sistem pilihan raya di Malaysia supaya berhijrah ke negara lain.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata tidak ada makna bagi Ahmad Zahid menyatakan beliau berani berdepan dengan DAP dan Pakatan Rakyat di Parlimen sekiranya masa yang diberi tidak mencukupi.

“Ahmad Zahid hanya bongkak dan berani di depan media BN dan kemera TV apabila mengugut wartawan Malaysiakini.

“Adakah beliau berani berdebat secara terbuka dengan saya atau Lim Kit Siang atau pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan sama ada kenyataannya yang ekstremis dan memecahbelah itu bersifat demokratik dan sebahagian daripada rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya umumm ke-13,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, rakyat Malaysia mencatatkan sejarah apabila jumlah keluar mengundi sebanyak 80% pada PRU-13 bagi melawan dan mengalahkan politik wang, ketakutan dan pembohongan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, wWalaupun Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi popular sebanyak hampir 4% sehingga menang sebanyak 51% berbanding hanya 47% oleh BN, BN masih memenangi kerajaan.

“Margin kemenangan malah lebih besar di Semenanjung Malaysia dengan 53% mengundi Pakatan Rakyat berbanding hanya 45% untuk BN. Pakatan Rakyat menang 55% undi popular di Perak, tetapi tetap tidak memenangi kerajaan negeri itu,” katanya.

Guan Eng berkata, Malaysia mempunyai kerajaan minoriti BN di Putrajaya, Perdana Menteri minoriti BN dan Menteri Besar minoriti BN di Perak.

Beliau berkata, rakyat ada hak untuk menyoal demokrasi jenis apa yang ada di Malaysia yang membenarkan kekuasaan minoriti ke atas majoriti, sebalik memberi jawapan kepada tuntutan umum terhadap reformasi pilihan raya supaya menghormati pinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’.

“Ahmad Zahid mengambil pendekatan autokratik dan keras bagi menghukum mereka yang berani bertingkah. Di sebalik meletakkan fokus pihak polis terhadap kerja asas mereka untuk membasmi jenayah, Ahmad Zahid lebih suka sekiranya pihak polis menangkap pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak pernah mencuri atau menyakiti rakyat.

“Jenayah meningkat menjadi satu krisis yang amat serius hatta rumah saudara mara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin di Petaling Jaya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Mantin, Negeri Sembilan pun menjadi mangsa jenayah pecah masuk pada hujung minggu lalu.

“Masanya sudah tiba untuk pihak polis memerangi jenayah dan bukan mengambil bahagian dalam peperangan BN terhadap Pakatan Rakyat,” tambahnya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, BN masih tidak belajar daripada kekalahan mereka pada PRU-13 dan enggan mendengar suara hati nurani rakyat, dan memilih untuk bergantung kepada ketakutan, kebencian dan penipuan untuk terus menindas dan membungkam aspirasi rakyat yang mahukan kebebasan, harapan dan peluang saksama.

Katanya, menggunakan kaum dan agama sudah tidak lagi berkesan kerana setiap orang tahu bahawa itu hanya satu topeng untuk menutup korupsi besar-besaran BN.

“DAP sangat terkejut dengan tingkah laku samseng yang diperlihatkan wartawan Utusan Malaysia terhadap protes sendirian bekas wartawan kanan Utusan Malaysia, Mohd Hata Wahari di depan ibu pejabat bekas majikannya semalam.

“Di mana kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara apabila wartawan Utusan Malaysia boleh membuat gangguan fizikal terhadap Hata Wahari, bukan sahaja dengan olokan dan ejekan perkauman malah melontar dua bungkus bihun goreng kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, Utusan Malaysia sepatut menerima hak mana-mana individu untuk tidak bersetuju dan membenarkan Mohd Hata untuk meneruskan protes aman beliau pada kain rentang beliau, ‘Mesej untuk Ketua Pengarang Utusan, hentikan kewartawanan tidak bertanggungjawab. Julang etika kewartawanan. Jangan rosakkan masa depan Utusan demi kepentingan sendiri. Jangan jadi wartawan rasis’.

Ini bermakna, katanya, Utusan Malaysia sudah tidak lagi percaya dengan kebebasan akhbar kecuali kebebasan untuk berbohong terhadap Pakatan Rakyat dan beliau membawa banyak saman fitnah terhadap Utusan Malaysia dan memenangi setiap satu saman terbabit.-Roketkini.com