Berita

Najib bariskan “kabinet bunuh diri”, PR konsisten dan makin kukuh

PETALING JAYA, 25 APRIL: Barisan kabinet Perdana Menteri Najib Razak yang lemah tetapi angkuh memberi kelebihan besar kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang.

Menaruh keyakinan tingginya, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, sikap Najib yang mendiamkan diri terhadap banyak isu sensitif yang ditimbulkan gerombolan mereka menjadikan BN semakin dibenci rakyat Malaysia.

“Baru sahaja jadi menteri, Zahid Hamidi suruh rakyat pindah ke luar negara, Noh Omar pula suruh duduk dalam hutan.

“Tapi Najib diam, orang dah marah. Bagaimana kerajaan BN nak reform kalau orang macam ini ada dalam kabinet,” katanya dihadapan lebih 4,000 orang hadirin dalam Majlis Kesyukuran PR Petaling Jaya semalam.

Mengulas penahanan beberapa orang pemimpin PR dan aktivis mahasiswa Adam Adli, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menganggap ianya satu tindakan tidak adil.

“Utusan sepatutnyalah yang ke Jinjang (ditahan) tetapi kenapa mereka (pihak berkuasa) tak buat?” soal beliau.

Antara pimpinan PR yang turut memberi ucapan ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Sambil mengucapkan syukur di atas kemenangan undi popular PR sebanyak 51 peratus berbanding BN, beliau menegaskan PR bukanlah parti yang tahu membalas dendam diatas ketidak adilan yang dihadapi semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kita tidak akan mengalah. Kita akan melaksanakan segala yang mungkin menggunakan petisyen. Kita juga akan bersedia di parlimen untuk menghalang BN menggunakan persempadanan semula demi kepentingan mereka,” kata Izzah.

Menurut beliau, walaupun BN mempunyai jentera yang besar untuk berhadapan PR, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata bahawa PR mempunyai majoriti rakyat yang telah bersama perjuangan PR.

“Saya percaya, jika kita kerja lebih keras, kita akan berjaya. Kita sebagai rakyat tidak perlu takut kerana orang yang perlu takut sekarang ialah para pengecut di Putrajaya,” ujar beliau sambil menyifatkan perjuangan rakyat baru sahaja bermula.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad pula berkata, UMNO-BN sedang kebingungan dan tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan setelah gagal merampas semula Selangor negeri yang diidam-idamkan selama ini.

“Mereka cuba lagakan PAS dan DAP, mereka cuba gagalkan perpaduan PR tetapi mereka bukan sahaja gagal tawan Selangor malahan PR menambah kerusi yang lebih banyak,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menyebut bahawa kegagalan BN menawan Selangor dan mempertahankan kerusi Parlimen mereka menyebabkan parti itu ‘menggelabah’ sehingga terpaksa menahan pemimpin-pemimpin dan aktivis PR.

“Macam manapun, itu semua bertujuan untuk takutkan rakyat. Apapun yang berlaku, PR akan terus mentadbir Selangor dengan cemerlang.

“Kita akan teruskan perjuangan kita sehingga berjaya menawan Putrajaya,” ujar beliau bersemangat.

Turut memberikan ucapan ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ADUN Sungai Pinang Datuk Teng Chang Kim, ADUN Kampung Tunku Lau Weng San, ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, dan peguam terkemuka Zaid Ibrahim. -Roketkini.com