Berita

Jambatan runtuh: DAP gesa siasat dan ambil tindakan

GEORGE TOWN, 7 JUN: Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa agar semua projek awam yang dilaksanakan perlu mengikut spesifikasi dan garis panduan yang ditetapkan dengan pengawasan yang ketat.

Kenyataan Setiausaha Pemuda DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong ini dibuat rentetan tragedi runtuhan susur keluar Projek Jambatan Pulau Pinang ke-2 yang berlaku petang semalam.

Pihaknya mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak segera menyelesaikan perkara ini dan menggesa agar satu laporan siasatan menyeluruh diterbitkan secepat mungkin kepada orang awam.

“Ini bukan yang pertama kali, sebelum ini kita dikejutkan dengan tragedi runtuhan yang berlaku kepada Stadium Sultan Mizan Terengganu, laluan jalan atas di Cyberjaya, dan keretakan jambatan di MRR2.

“Kami berpendapat undang-undang sedia ada memang tidak cukup untuk menangani masalah ini, lebih-lebih lagi jika melibatkan elemen salahguna kuasa,” katanya.

Bagi mengelakkan agar kejadian sebegini tidak berulang, Steven berkata pihaknya mahu kerajaan BN mengambil beberapa langkah-langkah pembaharuan drastik iaitu:
1) Mewajibkan tender terbuka untuk mendapatkan kontraktor yang cekap dan berkos efisien

2) Melakukan audit oleh pihak bebas terhadap semua laporan penilaian kesan (impack).-Buat masa kini laporan impak dilaksanakan oleh konsultan yang dilantik sendiri oleh kontraktor

3) Pemantauan ketat dan tegas menguatkuasakan undang-undang

4) Menyenaraihitamkan pemaju atau arkitek atau jurutera yang melanggar undang-undang daripada mendapat kelulusan kebenaran merancang pada masa hadapan.-Proses penyenaraihitam mestilah berdasarkan prinsip “piercing the corporate veil”, iaitu menyenaraihitam nama pemilik syarikat dan bukan hanya entiti perniagaan untuk mengelakkan pemilik yang tidak bertanggungjawab bersembunyi di sebalik entiti perniagaan.

Sambil menzahirkan kesedihan dan kesal dengan tragedi ini, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam turut mengimbau tragedi runtuhan jambatan di Terminal Feri Sultan Abdul Halim pada tahun 1988.

“Tragedi yang berlaku kepada projek Jambatan Pulau Pinang ke-2 ini merupakan tragedi kedua terbesar berlaku di Pulau Pinang.

“Pemuda DAP mendoakan kesihatan dan keselamatan kepada semua mangsa yang terlibat. Kami juga ingin mengucapkan syabas kepada anggota pasukan penyelamat termasuk sukarelawan yang bertungkus lumus,” katanya.

Semalam penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang mengakibatkan tiga mangsa cedera. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bergegas ke tempat kejadian dan menunggu sehingga dini hari menanti operasi menyelamat. – Roketkini.com