Berita

Tiga cadangan kepada SYABAS elak bebankan penduduk

SUBANG JAYA, 7 JUN: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) digesa supaya lebih prihatin terhadap penduduk setempat yang menjadi mangsa gangguan bekalan air pada Mei lalu yang telah mengakibatkan bekalan air penduduk sekitar kawasan SS12 hingga SS19 terjejas.

Justeru satu mesyuarat khas telah pun diadakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen bersama SYABAS selama tiga jam 20 Mei lalu membentangkan tiga cadangan kepada syarikat itu.

Bagaimana pun, sikap berdiam diri SYABAS sehingga sekarang menyebabkan mereka mengadakan satu sidang media hari ini mendesak syarikat itu supaya memberikan maklumbalas segera.

Menurut Hannah, cadangan pertama yang boleh dilakukan SYABAS ialah membaiki sistem perkhidmatan pelanggan mereka.

“Saya menerima aduan dari penduduk, apabila mereka menelefon SYABAS, mereka terpaksa menunggu lama tetapi tidak berjawab. Jadi, mereka telefon ke sini (Pusat Khidmat ADUN),” katanya.

Katanya, dalam mesyuarat bersama pengurusan SYABAS itu, beliau telah mencadangkan agar laman web syarikat itu sentiasa dikemaskini supaya maklumat mengenai sebarang gangguan bekalan air dapat diketahui penduduk segera.

“Selain makluman gangguan bekalan air, mereka juga perlu menyatakan waktu ketibaan bekalan air tangki dari SYABAS,” ujar beliau.

Menjelaskan cadangan kedua, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, pihak SYABAS perlu mempunyai satu mekanisma Standard Operating System (SOP) yang membolehkan amaran awal gangguan bekalan air dapat diketahui.

“Menurut SYABAS, jumlah bekalan air terbaik ialah pada sukatan kedalaman lima meter kedalaman dan bekalan air akan berada pada tahap kritikal jika menurun kepada 1.8 meter.

“Jadi, kita telah mencadangkan kepada SYABAS untuk membangunkan satu mekanisma amaran awal supaya mereka dapat segera bertindak,” kata Wong.

Perkara ketiga yang dicadangkan ialah SOP bagi bekalan air tangki yang mana buat masa sekarang, bekalan air tangki hanya akan diberikan mengikut permintaan individu.

“Kami telah cadangkan supaya bekalan air tangki ini diberikan kepada penduduk dalam masa yang tetap seperti waktu pagi bermula jam enam hingga jam sepuluh dan waktu petang bermula jam lapan hingga jam sepuluh,” jelasnya lanjut. – Roketkini.com