Berita

DAP mahu peranan wanita diperluas, juara semua isu

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke berharap peranan wanita samada sebagai calon atau ahli wajar diperluas pada masa akan datang berikutan prestasi amat baik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau berkata, bagaimanapun adalah sukar untuk memastikan 30 peratus kuota wanita menjadi calon seperti yang dicadangkan Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng.

“Agak sukar untuk parti tentukan kuota itu tetapi kami berharap untuk melihat lebih ramai pertambahan, bukan saja sebagai ahli malah sebagai pembuat keputusan. Kita juga mahu lebih ramai calon pada PRU-14 nanti,” katanya pada Majlis Hi Tea Wanita DAP bersama media, di Ibu Pejabat DAP, petang semalam.

Mengulas cadangan Chong Eng yang berpendapat bahawa suara wanita akan lebih didengari dengan bertambahnya wakil rakyat daripada golongan itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, mereka tidak semestinya hanya memberi tumpuan berkaitan isu wanita semata-mata tetapi turut serta mendepani isu lain.

“Wakil rakyat wanita seharusnya bersama wakil rakyat lelaki ke hadapan dan bercakap mengenai semua isu, tidak kira ianya berkaitan ekonomi, pertahanan dan lain-lain, kita tidak boleh meletakkan batas untuk diri sendiri dan perlu melepasi sempadan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap supaya masyarakat turut mengubah persepsi mereka terhadap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita.

“Saya berharap, rakyat tidak memandang wakil wanita ini sekadar penghibur tetapi sebagai individu yang bertanggungjawab mewakili suara mereka.

“Wakil yang dipilih, terutamanya yang muda menghadapi cabaran lebih sukar. Pandangan stereotaip mengasingkan serta mempertikai peranan lelaki atau wanita harus diketepikan,” katanya.-Roketkini.com