Berita

Usah biarkan Mahathir, Utusan Malaysia terus keluar kenyataan rasis, bohong

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak harus membiarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Utusan Malaysia terus mengeluarkan kenyataan rasis dan pembohongan sepanjang 40 hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), sejak 5 Mei lalu bertujuan menimbulkan keraguan, kebencian dan ketegangan antara kaum.

Sedangkan itu adalah bertentangan dengan dasar 1Malaysia yang dicetuskan Najib dan menjejaskan usaha pembinaan bangsa yang dilakukan sejak lebih lima puluh tahun lampau

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau kesal dengan kenyataan Dr Mahathir yang menggesa kerajaan agar tidak membiarkan pembangkang terus menghina sistem demokrasi negara ini dan meminta kerajaan lebih tegas dan tidak memberi muka.

“Sekiranya Najib ingin menunjukkan sikap tegas dan berhenti memberi muka, beliau sepatutnya berbuat demikian terhadap Mahathir dan Utusan Malaysia yang sedang cuba menggugat usaha mengukuhkan keamanan dan kesederhanaan dengan kenyataan rasis dan pembohongan mereka,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Semalam, New Straits Times semalam memaparkan berita judul “Najib tells tour bikers to relay moderation message” (Najib meminta peserta jelajah bermotosikal menyampaikan mesej kesederhanaan), di mana Perdana Menteri menyatakan harapan agar pasukan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menyertai “1Malaysia World Endurance Ride 2013” dapat menyebarkan mesej keamanan dan kesederhanaan kepada dunia bagi pihak Malaysia.

Beliau amat terkejut dengan kenyataan Mahathir walaupun pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kerjaya politiknya pernah diselamatkan pengundi Cina pada PRU 1999 bersikap sewenangnya dan tidak bertanggungjawab ketika dan selepas PRU-13 dengan secara terbuka menimbulkan kecurigaan, kebencian, dan ketegangan kaum berasaskan pembohongan semata-mata.

Menjelang PRU-13, Mahathir memuntahkan kenyataan rasis dan pembohongan bahawa saya bertanding di Gelang Patah kerana kaum Cina di Gelang Patah dan Johor “menolak kerjasama dan perkongsian dengan Melayu”; kaum Cina di Johor “membenci Melayu” untuk menimbulkan “ketegangan dan perseteruan antara kaum”; membentuk “konfrontasi kaum yang tidak sihat” antara Melayu dan Cina di Johor yang “menjejaskan pembangunan Malaysia”.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang berkata, tindakan Mahathir dan Utusan Malaysia itu mungkin tidak berpuas hati apabila rakyat menolak pembohongan dan kenyataan perkauman mereka, lalu kembali dengan lebih giat menjalankan taktik menyerang kaum Cina dan mengapi-apikan semangat perkauman selepas PRU-13.

Menurutnya, dalam tulisan baru di blog beliau, berjudul “Racial Polarisation”, Mahathir menerbitkan semula lebih banyak kenyataan perkauman dan pembohongan, malah turut mencipta pembohongan baru, antaranya menuduh DAP dan saya sendiri “menyimpan kebencian terhadap Melayu.”

“Ini boleh dianggap sebagai “Ibu bagi Segala Pembohongan Mahathir”. Pembohongan sebegini tidak pernah beliau lakukan ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003. Mengapa Mahathir mencipta “Ibu bagi Segala Pembohongan” selepas PRU-13.

“Sedangkan DAP sejak awal penubuhannya 47 tahun lalu, iaitu pada 1966, parti ini diasaskan sebagai sebuah parti politik untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau daerah.

“Malah, DAP adalah parti politik Pan-Malaysia yang pertama, iaitu parti politik pertama beroperasi di semua negeri di Malaysia, iaitu di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak, dengan anggotanya terdiri daripada pelbagai keturunan, iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban.

“Sejak pilihan raya pertama disertai DAP pada 1969, parti ini meletakkan calon berbilang kaum, malah dua calon Melayu DAP memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya tahun itu.

“Tuduhan bahawa saya, DAP, atau pemimpin DAP lain “menyimpan kebencian terhadap Melayu”, atau “menyimpan kebencian terhadap Cina”, “menyimpan kebencian terhadap India”, “menyimpan kebencian terhadap Kadazan”, atau “menyimpan kebencian terhadap Dayak”, adalah pembohongan paling berbahaya dan keji, khususnya apabila ia datang daripada seseorang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Ini mencerminkan Mahathir semakin terdesak apabila berdepan kenyataan bahawa ucapan perkaumannya tidak lagi laku. Kalau Mahathir benar-benar berpengaruh, saya mungkin tewas di Gelang Patah dan beliau tentu berjaya mencemarkan saya sebagai “Anti-Melayu No. 1” dalam negara,” ujarnya.

Menurutnya, jelas, kaum Melayu bukan sekadar meninggalkan UMNO, malah yang lebih jauh tinggalkan Mahathir, menunjukkan pengaruh politik bekas Perdana Menteri itu semakin merosot.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan Mahathir bahawa telah tiba masa untuk Najib dan kerajaan berhenti memberi muka kepada rasis seperti Mahathir dan Utusan Malaysia yang cuba memusnahkan usaha mengukuhkan keamanan dan kesederhanaan dengan kenyataan perkauman dan pembohongan yang mereka keluarkan tanpa henti.-Roketkini.com