Berita

Gagal gugur Nadzri Ibrahim bukti transformasi Najib hanya sandiwara

GEORGETOWN, 15 JUN: DAP terus mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan serta merta untuk menggugurkan penyiasat Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Mohd Nadzri Ibrahim kerana terbabit dalam konspirasi kes kematian Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, dalam kenyataan bersama menegaskan ia perlu dilakukan segera kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri memperakui pembabitan Mohd Nadzri dalam kes Beng Hock.

“Sudah 48 jam tetapi Najib atau EAIC masih gagal memberi penjelasan yang memuaskan mengenai identiti pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri

“Sedangkan SPRM tampil mengesahkan bahawa Mohd Nadzir adalah pegawai yang sama yang merakam keterangan Beng Hock dan kini ‘dipinjamkan’ pula kepada EAIC.

“Laporan berita juga menyebut bahawa Mohd Nadzri dikenal pasti Majlis Peguam sebagai seorang daripada pegawai SPRM yang patut disiasat lanjut atas beberapa tuduhan termasuk mengusik bahan bukti,” katanya.

Menurut mereka, pengakuan SPRM itu mengesahkan perilaku BN yang tidak pernah jujur melaksanakan janji mereka.

“Pengakuan SPRM jelas membuktikan bahawa janji transformasi dan integriti hanya sandiwara Najib dan BN.

“Bagaimana seorang pegawai yang terbabit dalam kes kematian dalam tahanan yang masih tiada hujung pangkal kini dilantik pula sebagai pegawai penyiasat kanan dalam kes kematian dalam tahanan?,” tegasnya.-Roketkini.com