Berita

Angkara politik, MBPJ dinafikan tubuh pasukan Polis Bantuan

PETALING JAYA, 15 JUN: Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara diminta meluluskan segera penubuhan pasukan polis bantuan bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) demi menjamin keselamatan rakyat daripada jenayah yang semakin berleluasa.

Strategis Media Sosial DAP, Yeo Bee Yin berkata, jika Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai pasukan polis bantuan mereka sendiri, mengapa MBPJ di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat tidak berbuat demikian untuk kepentingan umum.

Ini tambahnya, tidak termasuk 132 agensi pentadbiran kerajaan, 21 badan berkanun, 32 syarikat GLC dan 45 syarikat lain yang turut mempunyai pasukan polis bantuan.

“Antara syarikat GLC ialah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Berhad dan Petronas begitu juga dengan syarikat swasta seperti  Astro, PLUS, Puncak Niaga malah Utusan Melayu turut mempunyai pasukan polis bantuan.

“Mengapa penduduk di PJ pula dinafikan hak untuk hidup dalam persekitaran selamat? Ini menunjukkan pihak kementerian dan Ketua Polis Negara bersikap double standard,” katanya.

Bee Yin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama berkata, desakan supaya kelulusan diberi kepada MBPJ untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan ini demi menjamin keselamatan rakyat, bukannya soal politik.

“Jangan mempermainkan keselamatan rakyat. Cuma beberapa hari lalu (12 Jun 2013), sebuah restoran di Taman Megah Petaling Jaya disamun tiga perompak menggunakan parang.

“Oleh kerana permohonan MBPJ ditolak, penduduk di sini terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan mengupah pengawal keselamatan menjaga kawasan kediaman mereka. Ia membabitkan kos yang banyak,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Pada Februari 2009, MBPJ telah memohon untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan dengan peruntukan sebanyak RM4.3 juta membabitkan 100 anggota.

Bagaimanapun, permohonan MBPJ itu ditolak pada 2010 dengan alasan ‘pertindihan tugas’ dengan pihak polis sedia ada. Bagaimanapun, statistik 2012 menunjukkan hanya 1,323 pegawai polis ditempatkan di PJ yang mempunyai jumlah populasi melebihi 620,000 penduduk.

katanya, ini bermakna, seorang anggota polis perlu menjaga 470 penduduk. Nisbah 1:470 ini jauh ketinggalan daripada cadangan Interpol yang menetapkan nisbah paling optimal bagi seorang anggota polis ialah 1:250.-Roketkini.com