Berita

Krisis Speaker DUN Perak, MIC bakal kena “tipu hidup-hidup”

BATU GAJAH, 17 JUN: Barisan Nasional (BN) Perak ibarat retak menunggu belah akibat pergolakan merebut jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan seperti yang dihebohkan Presiden MIC, Datuk G Palanivel baru-baru ini.

Pergolakan BN negeri itu makin hangat apabila Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir minggu lalu berkata, beliau tidak pernah pun membuat sebarang kenyataan berhubung jawatan itu.

Zambry mengulas ‘ugutan’ Palanivel yang dilaporkan berkata, tidak mahu ‘mengambil apa-apa jawatan yang lain termasuk Penasihat MB’ jika MIC tidak diberi jawatan Speaker DUN.

Dalam perkara itu, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar berkata, UMNO sebenarnya memang tidak berhasrat memberi jawatan itu kepada MIC kerana parti itu cuma diperalatkan UMNO untuk ‘meredakan suasana’ rampasan kuasa di Perak tahun 2009 sahaja.

“Jawatan Speaker DUN Perak diberi kepada MIC pada 2009 kerana UMNO memperalatkan MIC untuk merampas jawatan Speaker daripada saya.

“UMNO pada masa yang sama dilihat cuba memperbodohkan masyarakat India dengan menjadikan MIC sebagai teman subahatnya,” tambah Ahli Parlimen Batu Gajah itu.

Bagaimanapun, menurut Sivakumar, biarpun MIC ‘mengugut’ dan bakal menjadi mangsa ‘ditipu’ hidup-hidup oleh UMNO berkenaan jawatan Speaker DUN, mereka sebenarnya sanggup menerima apa jua jawatan yang ditawarkan walaupun tidak terpilih menjadi Speaker.

“Apapun yang terjadi, MIC tidak akan berganjak daripada menyokong UMNO walaupun pimpinan parti itu dan masyarakat India dihina dan diperdayakan selama ini.

“MIC hanya gilakan kuasa politik dan sanggup menerima apa juga jawatan yang diberi UMNO untuk kepentingannya. Kalau tidak percaya, kita tunggu dan lihat,” katanya.-Roketkini.com