Berita

Najib usah tunduk bantahan polis, segera bentang IPCMC di Parlimen

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan ‘mandat’ baru untuk membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sejurus sidang Parlimen bermula, 24 Jun ini.

Beliau berkata, Najib tidak seharusnya tunduk kepada bantahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin terhadap penubuhan IPCMC kerana ia bukan bertujuan menjadi mereka sebagai mangsa tapi meningkatkan lagi profesionalisme anggota keselamatan itu.

“Langkah itu perlu dilakukan selaras dengan ikrar Najib untuk menjalankan program transformasi, malah juga ia akan menarik sokongan rakyat terhadap kerajaannya.

“Profesionalisme pasukan polis semakin dipertikai dengan peningkatan bilangan kematian dalam tahanan serta peningkatan kes jenayah yang membimbangkan di negara ini, khususnya di Lembah Klang.

“Ini tidak mengejutkan memandangkan suruhanjaya yang menggantikan IPCMC ini sememangnya dibentuk untuk gagal, memandangkan kuasa yang diberi kepadanya adalah sedikit dan dana yang diperuntukkan hanya RM7 juta setahun,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tahap keseriusan kerajaan dalam menangani kes jenayah juga menjadi persoalan kerana beberapa tindakan yang tidak masuk akal.

“Buat masa sekarang, hanya ada seorang penyiasat diberi tugas dan tidak masuk akal untuk menyiasat 19 agensi penguatkuasa, sedangkan tahun ini adalah tahun ketiga operasinya.

“Lebih parah, dikatakan bahawa penyiasat tunggal itu sendiri terbabit dalam kes kematian Teoh Beng Hock. Semua ini menimbulkan persoalan besar mengenai keseriusan kerajaan menangani jenayah,” katanya.

Terdahulu, Bakri menolak penubuhan IPCMC dengan menyatakan tidak ada gunanya membincangkan IPCMC kerana negara sudah memiliki EAIC dan undang-undang sudah cukup kuat.

Pada 2006, Polis juga menyenaraikan 10 sebab bantahan mereka terhadap IPCMC dalam sebuah buletin khas.

Menurut mereka, IPCMC boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam, orang ramai akan menjadi mangsa dan kesannya negara akan menjadi porak-peranda, kes jenayah tidak akan dapat dikawal dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Menyelar penolakan tersebut, Pua mahu anggota polis menyokong sepenuhnya penubuhan IPCMC supaya dapat meningkatkan keberkesanan mereka dalam menjalankan tugas kepolisian.

“Dengan menyokong IPCMC, menyingkirkan unsur tidak baik dalam pasukan polis, dan memelihara disiplin dalam pasukan polis, yang akan menang adalah polis sendiri dan rakyat. Selain itu, jika polis sememangnya profesional dan bertindak secara telus seperti yang didakwa, tiada apa-apa yang perlu ditakutkan dengan IPCMC.

“Polis tidak seharusnya mengugut untuk melancarkan pemberontakan jika IPCMC ditubuhkan kerana jelas sejak 7 tahun lalu tiada perubahan dari segi perlindungan terhadap hak asasi manusia dan kadar jenayah dalam negara ini walaupun kerajaan tunduk kepada bantahan polis,” ujarnya. -Roketkini.com