Berita

UMNO/BN bakal kalah PRU-14 jika terus lakukan fitnah, bohong

KUALA LUMPUR, 17 JUN: UMNO/Barisan Nasional (BN) akan benar-benar kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) jika terus menganggap BN memenangi PRU-13 lalu tetapi kalah dalam “perang persepsi” seperti yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pertemuan dengan pelajar Malaysia di Indonesia, di Kedutaan Besar Malaysia, di Jakarta, kelmarin.

Mengikut Najib, BN telah menjalankan banyak transformasi daripada segi pelaksanaan perkhidmatan sejak empat tahun lalu dan memenangi PRU-13, tetapi kalah dalam perang persepsi berikutan fitnah dan pembohongan yang disebar pembangkang menerusi media alternatif yang lebih dipercayai berbanding kebenaran dalam media arus perdana.

Menurut Najib: “Untuk pilihan raya umum berikutnya, BN mesti mempersiapkan diri untuk terbabit dalam perang persepsi.”

Ketuan Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya hari ini berkata, Najib sebenarnya menjanjikan lebih banyak pembohongan UMNO/BN di ruang siber dalam masa lima tahun, walaupun 10,000 cybertrooper UMNO/BN dilatih dalam siri Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang dianjurkan di seluruh Malaysia, membabitkan ratusan juta ringgit wang rakyat, telah gagal sama sekali

“Saya tidak berniat membela media alternatif, tetapi sanggupkah Najib menubuhkan suruhanjaya penyiasatan bebas untuk mengenalpasti mengapa media arus perdana hilang kredibiliti dan wibawa sehingga media alternatif lebih mendapat tempat.

“Walaupun suruhanjaya bebas itu meneliti pembohongan media arus perdana UMNO/BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian, atau Star yang mendakwa DAP membiayai “Tentera Kacang Merah” yang mempunyai 300 hingga 3,000 cybertrooper dengan membelanjakan RM108 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan pemimpin Umno/BN.

“Bagaimanapun, sampai sekarang lidah UMNO Utusan Malaysia masih terus menerbitkan pembohongan mengenai DAP yang kononnya membiayai “Tentera Kacang Merah”,” katanya.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, UMNO/BN kalah undi majoriti tetapi menang majoriti kerusi Parlimen kerana bagi pengundi UMNO/BN gagal menangani isu nasional mengenai Malaysia yang selamat, bersih, telus dan moderat. Najib masih berjaya memegang kuasa kerana tiadanya sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Beliau berkata, cakap Najib mengenai “transformasi” semuanya kosong, seperti yang dapat kita lihat pada hakikat bahawa rakyat Malaysia kini tidak rasa selamat di tempat awam, bahkan dalam rumah sendiri berikutan peningkatan kadar jenayah yang tidak terkawal, sehinggakan buat kali pertama rakyat Malaysia tidak merasa selamat untuk keluar makan di restoran dan kedai makan terbuka.

Bagaimanapun, katanya, mampukah Najib, Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bertepatan dengan komen berikut yang ditulis pengunjung blognya.

“Darah saya mendidih hari ini apabila membaca berita mengenai polis yang menyediakan pemeriksaan setiap jam ke atas mesin ATM, sedangkan keselamatan mesin ATM adalah tanggungjawab pihak bank.

“Di mana keutamaan PDRM? Orang ramai dirompak, ditetak, dirogol, dan bermacam lagi cara harta benda dan tubuh badan mereka dijejaskan, tetapi polis lebih bimbang mengenai mesin ATM kepunyaan bank.

“Adakah bank membayar lebih banyak cukai dan mesin ATM lebih penting daripada nyawa manusia? sedangkan kita telah sampai ke peringkat di mana jalan awam ditawan oleh penjenayah dan kita tidak lagi berani keluar rumah. Bagi saya kalau polis meronda setiap dua jam sekali di kawasan awam yang menjadi tempat tumpuan jenayah pun sudah cukup.

“Dan di mana sekian banyak motosikal yang baru-baru ini diberi kepada polis dengan segala publisiti, untuk membantu mereka melakukan rondaan? Saya TIDAK PERNAH melihat walaupun seorang anggota polis di jalan berhampiran rumah saya, sama ada polis bermotor atau berkereta, sejak enam bulan lalu. Pada hal rumah saya hanya berjarak 2km daripada balai polis yang pembukaannya dirasmikan dengan penuh meriah tidak sampai tiga tahun lalu.”

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah ingin bertanya boleh Zahid atau Khalid menjawab persoalan yang ditimbulkan pengunjung blog berkenaan.

Oleh yang demikian, katanya, tidak hairan jika buat kali pertama dalam sejarah negara yang berusia 56 tahun dan melalui 13 pilihan raya umum, legitimasi seorang Perdana Menteri dipertikaikan secara meluas di kalangan rakyat Malaysia.-Roketkini.com