Berita

Tipu bantu BN kekal kuasa, bukan takdir Tuhan -Teo Nie Ching

KULAI, 17 JUN: DAP menyelar kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini yang mendakwa kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu adalah berdasarkan takdir dan ketentuan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, adalah amat memalukan mendakwa Tuhan memihak kepada BN berdasarkan penipuan berterusan yang tidak ada jalan penyelesaiannya.

“Kenyataan Rahman itu membuktikan pimpinan BN sama sekali tidak mempunyai niat untuk memperbaiki kelemahan pilihan raya, malah tidak mempunyai perancangan dalam menangani segala penipuan yang dibangkitkan Pakatan Rakyat.

“Bukan nasib atau kehendak Tuhan yang menentukan kemenangan BN, tetapi amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang tidak adil membantu mereka terus kekal berkuasa.

“Pengundi hantu, kegagalan pengagihan dan penipuan undi pos tidak ditetapkan oleh Tuhan, tetapi buatan manusia,” kata Ahli Parlimen Kulai dalam kenyataannya.

Beliau menegaskan, penipuan melalui persempadanan semula sama sekali tidak dicipta Tuhan melainkan daripada UMNO/BN yang tergamak melakukan apa saja walaupun ianya terbukti salah untuk kekal berkuasa.

“Pindaan perlembagaan yang ditetapkan undang-undang untuk memastikan persempadanan diluluskan BN di Parlimen, sekali lagi ia bukan direka Tuhan. Ketidakadilan itu dapat dilihat melalui persempadanan bahagian pilihan raya yang dicipta bagi Parlimen Kapar dengan 144,159 pengundi manakala Putrajaya hanya mempunyai 15,798 pengundi.

“Persempadanan semula kawasan pilihan raya juga menyebabkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara mempunyai 34,290 pengundi manakala Seri Serdang mencatat jumlah dua kali ganda dengan 72,845 pengundi, walaupun hakikatnya kedua-dua kerusi itu di bawah Parlimen Puchong.

“Daripada 130 kerusi Parlimen terkecil di negara ini, BN memenangi 112. Sebahagian besar majoriti Parlimen mereka disebabkan kawasan dengan sebilangan kecil pengundi dan bukan kerana Tuhan memihak pada mereka,” sindirnya.-Roketkini.com