Berita

DAP tuntut PUNB langsai tunggakan pampasan pekerja Qarira Packaging

KUALA LUMPUR, 20 JUN: DAP menuntut Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Jabatan Insolvensi Malaysia mempertimbangkan tuntutan tunggakan pampasan sebanyak RM100,795.88 kepada bekas pekerja Qarira Packaging (M) Sdn Bhd (Qarira) dengan segera.

Ia berikutan penutupan Qarira Packaging Sdn Bhd, sebuah syarikat pengilangan tin yang sebelum ini menjalinkan usahasama bersama PUNB dan Pacific Can Investment Holdings di Singapura di mana PUNB yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjadi pemegang saham terbesar.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, penutupan Qarira menyebabkan pekerja hilang mata pencarian dan perlu berhadapan kesukaran mendapatkan pekerjaan lain. Lebih malang, syarikat itu gagal membayar pampasan tertunggak kepada pekerjanya.

“Saya dimaklumkan, mengikut keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Qarira Packaging (M) Sdn Bhd perlu membayar RM182,489.70 kepada tujuh bekas pekerjanya dan perkara itu disahkan Jabatan Insolvensi Malaysia Johor Bahru,” ujarnya pada sidang media hari ini bersama lima pekerja yang turut hadir.

Bagaimanapun, sehingga kini, pihak pekerja hanya menerima bayaran pampasan sebanyak RM81,693.82 iaitu 44 peratus daripada jumlah yang sepatutnya dibayar.

Baki pampasan sebanyak RM100,795.88 masih belum diterima sehingga seorang daripada mereka, Savitri a/p Ramasamy, 54, telah meninggal dunia akibat barah dua bulan lalu.

Keadaan bertambah celaru apabila pada Januari 2011 lalu, Qarira Packaging (M) Sdn Bhd bertindak menjual mesin daripada kilangnya dan memperoleh sebanyak RM642,641.32.

Wang itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Johor Bahru. Perkara itu menyebabkan pekerja mempertikaikan kepada Jabatan Insolvensi kenapa hasil jualan mesin Qarira itu tidak diguna untuk membayar baki tunggakan pampasan mereka.

“Jabatan Insolvensi pada 5 Mei 2011 dalam maklum balas mereka berkata bahawa hasil jualan mesin itu dibayar kepada PUNB yang merupakan Pemegang Debentur ke atas mesin Qarira,” katanya.

Tetapi lain pula jawapan PUNB pada 19 Julai 2011 kepada bekas ADUN Johor Jaya, Tan Cher Puk yang membantu kes ini. PUNB mendakwa mereka masih belum menerima bayaran itu walaupun sesen daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Mana satu yang benar? Saya minta Khairy Jamaluddin siasat perkara itu samada PUNB sudah dapat bayaran daripada Jabatan Insolvensi atau tidak,” tegas Kian Ming.

Menurut seorang daripada bekas pekerja Qarira, Zamri Suliman, 44, beliau pada 25 Mac lalu telah memanjangkan hal itu terus kepada Pengerusi PUNB, Khairy Jamaluddin tetapi masih tiada jawapan.

“Saya minta kerjasama PUNB membayar pampasan. Umur saya sudah lebih 40 tahun. Nak cari kerja pun susah. Kerja sekarang ini pun orang yang rekomenkan,” katanya.

Bagi Woon Yan Lin, 46, beliau sedih dan kesal kerana ‘satu sen’ pun pampasan tidak diberi PUNB.

“Kami sudah usaha macam-macam tapi gagal. Saya harap lepas keluar berita mengenai hal ini, mereka (PUNB) akan membayar pampasan,” ujar beliau.

Bagi menyelesaikan masalah dan demi keadilan pekerja ini, Kian Ming menggesa agar hak semua pekerja ini dibela.

“Saya memang faham bahawa mengikut undang-undang Malaysia, PUNB memang berhak menuntut hasil jualan aset Qarira kerana PUNB adalah pemiutang Qarira yang utama.

“Tetapi pada masa sama kebajikan bekas pekerja Qarira wajar didahulukan. Mereka adalah  golongan berpendapatan rendah. Atas semangat perikemanusiaan dan belas kasihan, saya berharap, PUNB memahami kesusahan dan penderitaan yang dialami semua tujuh bekas pekerja Qarira serta ahli keluarga mereka,” katanya lagi.

Qarira Packaging (M) Sdn Bhd (QPMSB, No. syarikat 396860-K) telah ditubuhkan di Johor pada 1997 sebagai pengilang tin. Syarikat ini merupakan usahasama antara PUNB, Pacific Can Investment Holdings di Singapura dan Qarira Holdings Sdn Bhd, di mana PUNB menjadi pemegang saham majoriti.

Khairy Jamaluddin telah dilantik sebagai Pengerusi PUNB berkuatkuasa 1 April 2012 menggantikan  Tan Sri Abu Bakar Mohd Noor yang menamatkan perkhidmatannya pada 29 Februari 2012 setelah memegang jawatan itu sejak 1998. – Roketkini.com