Rencana

MARI BERFIKIR SEJENAK…Menguruskan politik persepsi (Bahagian 1) Oleh Izmil Amri

Tidak, tajuk saya tidak salah. Saya tak ada niat mahu menguruskan persepsi politik. Saya mahu bercerita tentang politik persepsi; sebagai satu cabang seni dan nahu realpolitik.

Malaysia ini negara yang masih sarat dengan virus penyakit Mahathirisme. Meski saya meluat mahu menyebut nama itu, itulah dia hakikat yang mesti kita telan. Bekas Perdana Menteri itu nyata berjaya meninggalkan bekas-bekasnya di mana sahaja. Seperti mana keadaannya bekas kekasih orang, pasti akan ada kenangan dan kesan pahit manis, benci rindu, hasil percintaan lama.

Begitu juga Malaysia. Lebih dua dekad di bawah pemerintahan Mahathir Mohamad; kesannya masih boleh dirasa, hatta di kalangan mereka yang membenci Mahathir sekali pun.

Mahathir adalah manusia yang menyempurnakan kerja politik persepsi di Malaysia. Inilah dia makhluknya yang menjaja harapan dan ketakutan berdasarkan apa yang dilihat mata dan dirasai hati tanpa perlu membebankan otak.

Sedikit keliru? Tak apa. Saya akan jelaskan.

Apa itu politik persepsi

Bagi yang menciptanya, politik persepsi adalah seni mendapatkan apa yang kita mahu berdasarkan apa yang kita boleh hidangkan kepada pandangan mata audien atau kumpulan sasaran. Politik persepsi ialah kaedah politik yang memungkinkan sesuatu pihak mengalahkan sesuatu pihak yang lain secara ‘prima facie’.

Prime facie adalah istilah undang-undang yang bermaksud ‘pada pandang pertama’. Jadi penilaian dibuat berdasarkan apa yang dipandang ‘at face value’ tanpa perlu banyak analisa, tanpa perlu banyak tanya, tanpa perlu banyak soal jawab yang mungkin merungkai banyak rahsia yang tidak perlu diketahui.

Bagi yang menerimanya, saya katakan Malaysia dan rakyatnya pada sekitar tahun 2013 ini adalah rumpun bangsa yang paling mudah termakan dan percaya dengan apa yang dipandang mata. Inilah dia antara kejayaan Mahathir Mohamad yang paling memukau.

Bukti anekdot (tapi tak semestinya tak benar)

Ini saya sedari seawal darjah 5, sewaktu bersekolah di Pulau Pinang dan disuruh cikgu sekolah agar melukis poster Wawasan 2020. Menjadi anak kecil baru sebelas tahun usia pada tahun 1995, apalah sangat yang saya tahu tentang wawasan. Jadi kerana kekurangan imaginasi, saya malah harus bertanya pada cikgu, apa yang ada nanti pada tahun 2020.

Antara lain cikgu saya kata, nanti akan ada kereta yang boleh terbang, dan keretapi laju; serta rumah-rumah yang didirikan tinggi seperti menara Kuala Lumpur. Maka apa yang cikgu saya katakan itulah yang menjadi persepsi saya tentang Wawasan 2020, sebuah zaman di mana Malaysia nampaknya begitu maju dan membangun pesat, walaupun jaraknya masih 25 tahun ke hadapan pada waktu itu.

Barang diingat, Wawasan 2020 adalah politik persepsi ala Mahathir. Seakan sebuah lukisan, beliau melakarkan harapan di hadapan mata rakyat Malaysia (yang muda-muda terutamanya) tentang apa yang dirasakannya pandangan mereka tentang masa depan. Hatta begitu ramai sekali rakyat pada waktu itu yang tidak langsung peduli tentang apa yang terjadi pada masa nyata.

Begitu juga keadaannya dengan pembinaan Menara Berkembar Petronas yang hari ini kita kenali sebagai menara KLCC. Ini juga politik persepsi. Politik yang memberi harapan dan membutakan mata dengan apa yang dirasakan sebagai kemajuan. Penyudahnya orang kampung memandang menara berkembar itu sebagai hasil kerja Mahathir, tanpa sedikit pun mendapat dana daripada Petronas.

Barangkali dengan rasa bangga dan kagum itulah rakyat negara ini yang siang tadi setakat togok air sejuk untuk mengamankan lapar akan rasa selamat. Hanya berbekalkan persepsi kemajuan dan kehebatan negara mampu membina menara tertinggi di dunia (pada waktu itu). Tiada yang runsing banyak tentang ekonomi merudum mahupun korupsi menggila, apatah lagi soal kemiskinan dan inflasi.

Inilah dia ‘smoke screen’ yang digunakan rejim Barisan Nasional dalam membina persepsi dan menyogok persetujuan supaya rakyat seluruhnya akur dan taat tanpa banyak soal. Seperti rusa di tengah jalan melihat kereta laju menderu, terpana dan terpegun tiada peduli nasibnya sendiri.

Persepsi adalah penipuan

Seperti yang boleh difahami dari cerita panjang lebar di atas, politik persepsi adalah politik pemincangan fokus. Dalam bahasa mudahnya, kita namakan politik mengalih perhatian. Kita semua tahu bahawa politik mengalih perhatian ini adalah strategi penipuan dan helah yang sangat ampuh.

Inilah dia realpolitik. Seni segala mungkin tanpa menghiraukan prinsip mahupun garus pemisah antara yang benar dan salah.

Kita semua menggunakan strategi ini, selalunya apabila mahu mengelak dari sesuatu atau mahu menyalahkan orang lain. Jerebu sekarang ini sebagai contoh mudah; juga ada banyak persepsi. Ada yang melihat salah kerajaan Indonesia, ada yang melihat salah syarikat-syarikat Malaysia, ada yang melihat salah kapitalis, malah ada yang melihat salah para perokok tegar dan kaki bakar sampah. Demikianlah permainannya.

Senario: 1. Kita dihidangkan oleh media gambar-gambar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk semeja bergelak ketawa bersama musuh politiknya si Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen semalam. 2. Pada masa yang sama semalam para demonstran yang mahu menyampaikan satu memorandum di luar pagar Parlimen dihalang dan ditahan oleh polis.

Persepsi: Kenapakah kita begitu pantas melatah dan marah-marah? Adakah ini petanda bahawa rakyat Malaysia begitu mudah sekali termakan dengan permainan politik persepsi sehingga tidak menggunakan akan fikir waras apabila menangani situasi?

Adakah ini indikator kejayaan Mahathirisme?

Bersambung… – Roketkini.com