Berita

Tidak ada sebab dolak-dalik tubuh IPCMC – M.Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak perlu lagi berdolak-dalik untuk menubuhkan badan khas memantau polis, Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) kerana kemenangan kes saman keluarga mendiang A Kugan yang mati dalam lokap polis pada tahun 2009 lalu mengukuhkan sebab untuk menubuhkan badan pemantau itu.

Mengulas perkara itu di Parlimen, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala lumpur pagi tadi berkata kemenangan kes saman sivil keluarga mendiang Kugan ini wajar menjadi iktibar semua pihak.

“Kes kematian dalam tahanan pihak berkuasa terutamanya kematian dalam lokap bukan lagi satu rahsia. Perkara yang semacam ini memang banyak dilaporkan.

“Tetapi kita berasa hairan mengapa hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa tidak ada asas kuat untuk menubuhkan IPCMC. Bila kita lihat apa yang berlaku, ia menunjukkan penubuhan badan bebas itu sangat wajar dilaksanakan segera,” tegasnya kepada Roketkini.com.

Menurut Kula yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan bermesyuarat esok pada jam 11.30 pagi untuk membincangkan mengenai penubuhan IPCMC.

Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan ganti rugi berjumlah RM751,700 dibayar kepada keluarga mendiang A Kugan beserta kos sebanyak RM50,000.

Mendiang A Kugan yang telah mati dalam lokap polis Subang Jaya pada 2009 telah menimbulkan kontroversi dalam negara ini sekaligus menggugat kepercayaan orang awam terhadap kreadibiliti dan ketelusan pihak polis. –Roketkini.com