Rencana

Anak Mami di Perantauan – Kita tak perlu dakwat ‘pewarna air sirap

Parlimen baru mula bersidang. Seakan satu sumpahan, badan perundangan negara itu dengan jayanya buat rakyat ketawa besar. Kali ini dari jawapan bekas Menteri Besar Perlis yang kini jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng, Shahidan memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak ada bahan kimia yang digunakan dalam dakwat yang dicalit pada jari telunjuk kiri selepas sudah mengundi, sebaliknya pewarna makanan yang dibenarkan.

Penat Suruhanjaya Pilihan Raya mempertahankan dakwat kekalnya yang tak berapa nak kekal. Alih-alih Shahidan pula dedahkan bahawa benda yang dicalit ke jari pengundi itu bukan sahaja tidak kekal, malah tidak kekal kerana ia bukanlah sangat dakwat, tetapi pewarna makanan.

Makcik yang jual air sirap di pasar malam dan bergelumang dan pencelup ros pun tahu kalau pewarna tu kena pada tangan, kurang-kurang tiga empat hari juga lah baru nak lekang.

Jadi secara mudah, SPR telah membelanjakan RM6.9 juta untuk benda yang didakwa sebagai dakwat kekal tapi sebenarnya pewarna makanan, dengan tambahan RM200,000 untuk pengangkutan, pembungkusan dan penyimpanan. Jumlah besarnya sekarang RM7.1 juta.

Jumlah dana yang sedemikian besar sepatutnya boleh dijimatkan jika dakwat kekal tak perlu digunakan sekiranya SPR cekap memastikan senarai daftar undi tidak ada pengundi hantu, tak ada undi pos, tak pengundi meragukan dan tak ada kemungkinan penipuan dengan pengundian berbilang kali.

Tak cukup dengan jawapan pewarna makanan, ada lagi jawapan tentang dakwat yang sama yang membuktikan bahawa untuk jadi menteri di Malaysia tak perlu belajar tinggi-tinggi sampai ke universiti.

Setiausaha Agung UMNO merangkap Menteri Wilayah yang baru, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, berkata Malaysia tidak memerlukan dakwat kekal kerana kita bukannya negara dunia ke tiga.

Ku Nan ku sayang, memang lah negara ini bukan negara dunia ke tiga. Tapi untuk sebuah negara yang kononnya cukup maju dengan sistem biometrik dan Multimedia Super Corridor segala bagai, SPR sepatutnya boleh daftar pengundi secara otomatis, dan boleh membersihkan daftar pemilih secara efisyen. Jadi tak ada warga asing, tak ada ‘zombie’ dan tak ada Hantu Kak Limah yang balik dari kubur mahu mengundi.

Keperluan dakwat kekal yang tahun 2008 dahulu pun sudah diputuskan adalah untuk memastikan malaun-malaun yang menerima upah tidak boleh mengundi lebih dari sekali. Kalau dah nama dia wujud dia tiga empat kawasan, ini daftar pemilih dunia ketiga lah namanya. Teruk sangatkah sistem komputer di SPR sampai tak boleh pastikan daftar pemilih bersih? Apakah masih guna sistem yang ada skrin hitam dengan aksara hijau?

Dan bukan hak kerajaan Barisan Nasional untuk tentukan atau putuskan apa yang boleh atau tak boleh dibuat oleh SPR. Badan tersebut sepatutnya bebas daripada apa-apa campurtangan pihak kerajaan Barisan Nasional. Pendapat pemimpin BN tak sepatutnya memberi kesan kepada keputusan dan perjalanan urusan SPR.

SPR bukan parti komponen Barisan Nasional. Noktah.

Jadi sekarang rakyat mahu tahu. Kroni mana yang dapat untung bekalkan pewarna air sirap ini? Nampaknya untung yang diperoleh juga berlipat kali ganda.

Tahun 2008, SPR belanjakan RM2.4 juta untuk beli dakwat kekal yang tak nampak pun bayang, tidak digunakan dan akhirnya dilupuskan.

Tahun 2013, SPR belanjakan pula RM7.1 juta untuk beli dakwat yang bukan sahaja tidak kekal, malah disebut Menteri UMNO sebagai dicampur pewarna makanan.

Kroni mana yang untung? Siapa yang kaya? Duit rakyat dibazirkan untuk isi tembolok siapa? – Roketkini.com