Berita

Hilang keyakinan pelabur, DAP gesa kerajaan bertindak segera

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menggesa kerajaan supaya bertindak segera untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti agar dapat memberi keyakinan semula pada pelabur, berikutan kedudukan Malaysia yang menjunam 15 anak tangga dalam kedudukan keyakinan pelabur global.

Awal pagi semalam, The Edge Financial Daily melaporkan Malaysia telah turun dari kedudukan ke 10 ke 25 dalam Indeks AT Kearney Keyakinan Pelaburan dalam tempoh setahun.

“Laporan itu berdasarkan kaji selidik yang merangkumi 300 eksekutif kanan syarikat-syarikat yang terkemuka di dunia.

“Penurunan ini begitu drastik, kita kini berada di tangga tercorot dalam 25 negara. Jadi langkah segera perlu diambil,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Indeks AT Kearney FDI kini dalam tahun ke 13 menganalisa dan menyelidik dasar negara, ekonomi, perubahan politik dan kesannya pada pelaburan.

Menurut Indeks itu, Malaysia kini jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Singapura ketika ini berada di tangga ke 10, kedudukan yang diperoleh Malaysia tahun lalu.

Menurut Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan menegaskan, antara punca penurunan itu adalah akibat amalan perolehan kerajaan yang samar-samar dengan menyembunyikan fakta dari pandangan awam menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Semua projek penswastaan bernilai jutaan ringgit​, sama ada konsesi lebuh raya seperti Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bernilai RM5.1 billion, Lebuhraya Lembah Klang (EKVE) RM1.55 billion dan RM2.2 billion untuk Lebuhraya Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX) atau projek-projek kontrak seperti MRT yang dianggarkan sebanyak RM50 billion kepada MMC-Gamuda Joint Venture diberikan tanpa apa-apa bentuk tender kompetitif atau telus,” ujarnya.

Katanya lagi, tender terbuka juga tidak memberi sebarang jaminan keadilan apabila kontrak boleh dimenangi oleh syarikat tertentu yang rapat dengan kerajaan walaupun memiliki kepakaran berbeza.

“Sebagai contoh projek Tambahan LRT Ampang bernilai RM1.2 bilion diberi kepada George Kent Bhd walaupun syarikat itu memiliki kepakaran dalam pembuatan dan bekalan air paip bukannya LRT,” tegasnya. -Roketkini.com