Rencana

Cabai Burung – Para YB sekelian, harap jangan dimakan sumpah

Manusia mana yang tak mahu hidup aman. Hatta, kerbau di kubang juga tak mahu diganggu, cuba-cubalah ganggu; memang tak hairanlah kalau heboh kisah orang mati dirodok tanduk.

Bila ‘menteri TV’ Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kata 86.4 peratus warga Malaysia sokong gagasan 1Malaysia tajaan Najib berasbabkan konsep itu mempunyai matlamat untuk meningkatkan kefahaman dan toleransi dalam kalangan masyarakat, tak ada apa yang baharu, tak ada apa yang boleh dibangga.

Sebab, gagasan 1Malaysia memanda Najib ini memang tak jauh beza dari konsep Malaysian First yang diperjuangkan DAP selama ini.

Jadi, apa nak dikisahkan? Kalau kerajaan BN baru sepenggal perjuangkan gagasan yang melangkaui batas agama, bangsa, DAP sejak penubuhannya sangat jelas membawa agenda perpaduan holistik.

Fakta yang tak boleh disanggah dan paling membanggakan, DAP terbukti sangat konsisten memperjuangkan agenda penyatuan bangsa ini dalam acuan Malaysia sebenar sebagaimana ide besar Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman sendiri.

Malangnya Najib, ide 1Malaysia jajaan beliau telah pun tercabul sejak awal-awal lagi bila mana pemimpin UMNO dan media kawalan mereka dengan terang mempromosikan, mempolitikkan, menunggangi agenda perkauman sempit demi survival politik mereka.

Seperkara lagi, apa yang mengecewakan, Najib sendiri telah menyalahkan ‘tsunami Cina’ yang mengakibatkan BN tidak lebih kuat dari zaman Tun Abdullah.

Memanglah tak salah nak perjuangkan 1Malaysia, tapi biarlah kena pada gerak tindak dan bahasa. Kalau ‘menteri TV’ tu sekadar nak jawab soalan parlimen , memanglah senang.

Sambil-sambil itu, Cabai Burung kali ini nak ambil kesempatan mengucapkan selamat berkidmat kepada semua YB yang sudah mengangkat sumpah. Jangan sampai termakan sumpah ya.- Roketkini.com