Berita

Ketua Menteri Melaka bohong, bermuka-muka

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Harun mula menunjukkan sikap bermuka-muka apabila kenyataan terbarunya mendakwa penutupan Jonker Walk tidak ada kena mengena dengan politik.

Pelik dengan pengakuan terbaru itu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua menyifatkan ia sebagai satu ‘putar-belit yang hebat’.

“Dulu dia kata penutupan pasar malam Jonker Walk sebab ‘memenuhi kehendak pengundi’ kerana calon MCA ditewaskan calon DAP.

“Sekarang pula dia kata tidak ada kena mengena dengan politik sebab keputusan penutupan pasar itu bertujuan untuk memudahkan lalu-lintas,” katanya dalam satu kenyataan.

Alasan kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka membuat keputusan menutup Jonker Walk juga kata Pua disebabkan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan perjalanan ke tol Ayer Keroh mengambil masa sehingga empat jam.

“Kita nak beritahu Ketua Menteri Melaka itu, semalam kita buktikan, perjalanan daripada bandar ke plaza tol tidak serupa seperti yang beliau dakwa, cuma 30 minit,” jelasnya.

Dua hari lalu Idris juga mengeluarkan kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab dan mengejutkan bila mana mengumumkan tidak ada sebarang keputusan untuk menutup pasar itu.

“Kenyataan beliau ini memang sangat tidak bertanggungjawab dan berbelit-belit,” katanya.

Petang semalam, Pua bersama Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong; Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa; Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin melawat pasar berkenaan dan memprotes terhadap politik balas dendam UMNO terhadap rakyat Melaka.

Protes itu menarik sehingga beberapa ratus orang awam menyatakan rasa marah dan tidak berpuas hati mereka terhadap tindakan kerajaan BN negeri itu.-Roketkini.com