Berita

Kes Kugan: PM terus didesak ambil tindakan terhadap KPN – Gobind

KUALA LUMPUR, 29 JUN: DAP terus mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya meletak jawatan kerana bertanggungjawab terhadap kematian seorang tahanan lokap A.Kugan pada 20 Januari 2009.

Demikian gesa Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo dalam Dewan Rakyat yang mempersoalkan kedudukan Khalid Abu Bakar yang masih selamat sebagai ketua Polis Negara.
“Kita menggesa supaya Perdana Menteri atau jemaah menteri mengambil tindakan terhadap beliau susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun 2013 baru-baru ini.

“Beliau bertanggungjawab bagi kematian A Kugan di lokap Balai Polis Taipan Subang Jaya dan beliau sebelum itu telah menggelapkan fakta mengenai tragedi malang itu,” ujarnya.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP berkata, Hakim telah membuat pencarian bahawa terdapat elemen-elemen penggelapan fakta (cover-up) oleh Tan Sri Khalid semasa kes kematian Kugan dalam siasatan.

“Khalid gagal mengklasifikasikan siasatan sebagai kes bunuh dan gagal mengarahkan siasatan dalaman mengenai kematian ini khususnya melihat kepada jenis kecederaannya.
“Hakim juga menyatakan bahawa kenyataan Khalid berkenaan sebab kematian Kugan tidak konsisten dan tidak dijelaskan semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Selangor masa itu,” jelas beliau. – Roketkini.com