Berita

DAP cadang JPM direformasi, optimumkan urus tadbir kerajaan

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: DAP mencadangkan agar Jabatan Perdana Menteri (JPM) direformasikan supaya wujud keseimbangan dengan Parlimen bagi memastikan pengurusan kerajaan lebih efektif dan menjadikan perbelanjaan membabitkan wang rakyat mampu dioptimumkan dengan berkesan.

“Pada 2013, Parlimen yang menjadi tonggak demokrasi negara hanya diperuntukan RM82 juta sedangkan JPM yang hanya satu daripada “kementerian” diperuntukan sejumlah RM14.6 billion,” kata Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong pada perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, perkara itu berlaku berikutan kebanyakan agensi yang diselia di bawah JPM telah dibahagikan kepada kementerian yang berkaitan.

“Apa yang kami lihat, peruntukan kepada JPM ialah 180 kali ganda daripada Parlimen. Adakah ini bermakna JPM lebih penting dan besar daripada Parlimen?,” soalnya.

Justeru itu, Chin Tong mencadangkan agar Kabinet ditadbir secara kolektif dan bertanggungjawab kepada Parlimen dan pada masa yang sama Menteri di JPM pula perlu dihadkan kepada tiga orang sahaja berbanding lapan orang seperti yang dipraktikkan sekarang.

Menurutnya, bagi memastikan reformasi di JPM berkesan, beliau turut membariskan beberapa cadangan untuk keberkesanan urus tadbir dan penyeliaan kerajaan yang lebih cekap dan efektif.

Antara cadangan beliau ialah:

1)   Perdana Menteri dilarang berkhidmat sebagai Menteri Kewangan kerana akan dan sebenarnya telah berlaku konflik kepentingan. Ia bermakna, seorang Menteri Kewangan penuh perlu dilantik.

2)   Jabatan Peguam Negara perlu menjadi sebuah kementerian yang berasingan dengan menteri penuh yang bertanggungjawab kepada Parlimen.

3)   Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen dan tidak lagi berada di bawah kawal selia JPM.

4)   Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) juga perlu secara langsung bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak lagi berada di bawah kawal selia JPM.

5)   Parlimen Malaysia ditadbir secara bebas melalui Pejabat Speaker dan pelbagai Jawatankuasa Parlimen terutamanya House Committee, serta bebas daripada pihak eksekutif.

6)   Biro Pengaduan Awam dinaiktaraf ke posisi ‘ombudsman’ dengan peruntukan kewangan yang mencukupi serta bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

7)   Fungsi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan PEMANDU disatukan dan PEMANDU ditutup selepas ini.

8)   Peranan Unit Pelaksanaan dan Perancangan (ICU) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) perlu dikaji semula.

 

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mesti diserap ke dalam Kementerian Pertahanan.

“Ketidakseimbangan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga terlalu jauh. Jumlah belanjawan semua negeri hanya 7.9 peratus berbanding belanjawan Persekutuan 2013,” ujarnya.-Roketkini.com