Berita

DAP selar kerajaan gagal selesai isu kewarganegaraan di Sarawak

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen menyelar kerajaan yang tidak melakukan sebarang tindakan untuk menyelesaikan permasalahan kewarganegaraan di Sarawak.

“Dalam soalan lisan di Dewan Rakyat pada 14 Jun 2012 saya telah membangkitkan permasalahan itu, ketika itu kerajaan menyatakan seramai 693 memegang Kad Pengenalan Merah (MyPR) dan 83 pemegang Kad Pengenalan Hijau (MyKAS).

“Kali ini pada 26 Jun 2013 saya bangkitkan sekali lagi soalan berkenaan, namun terkejut apabila jumlah pemegang MyPR dan MyKAS semakin meningkat dalam tempoh yang begitu singkat.

“Dengan jumlah yang direkodkan seramai 2,762 pemegang MyPR dan 1,700 MyKAS, apa yang kerajaan lakukan? Mengapa peningkatan boleh sebegini banyak?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau dan Ahli Parlimen DAP Sarikei,, Andrew Wong Ling Biu, di Lobi Parlimen, hari ini.

Chieng Jen berkata, beliau turut kesal dengan tindakan itu, walhal kebanyakkan mereka telah tinggal di Sarawak lebih 30 tahun.

“Saya tidak faham mengapa kerajaan enggan meluluskan permohonan mereka sebagai warganegara? Kementerian Dalam Negeri pula memberi jawapan yang tidak logik apabila menyatakan seramai 1,500 saja permohonan yang diterima tapi pada masa sama tidak menyatakan mengapa jumlah kedua-dua kad itu meningkat.

“Ini jelas menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak serius. Ketidakseriusan ini menyebabkan ramai daripada mereka mempunyai masalah dalam kehidupan seperti persekolahan, permohonan pinjaman dan lain-lain.

“Saya berharap kerajaan terutamanya Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyelesaikan permasalahan itu segera, jangan hanya pandai bercakap tanpa membuat solusi seperti menteri sebelum ini,” tegasnya. –Roketkini.com