Berita

Keikhlasan Muhyiddin mengenai perpaduan kaum dipertikai

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempertikaikan keikhlasan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bercakap seperti Timbalan Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia selepas dua bulan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu berapa lama kenyataan Muhyiddin itu boleh bertahan sebelum dia kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri hanya untuk 47% rakyat Malaysia yang mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Beliau memang mengalu-alukan kenyataan Muhyiddin mengenai kepentingan dan masalah semua kaum termasuk masyarakat bandar dan menganggapnya sebagai satu perkembangan baru.

“Kenyataan Muhyidin itu tidak dapat dibayangkan selepas menyaksikan sekian lama orang Cina diserang dengan isu perkauman sehingga keputusan PRU-13 itu dianggap tsunami Cina sedangkan sebenarnya ia adalah tsunami Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan Muhyiddin pada majlis penghargaan dan kesyukuran BN Wilayah Persekutuan, Sabtu lalu yang menggesa BN memenuhi keperluan pengundi bandar dan generasi muda yang menyampaikan mesej mereka melalui PRU-13.

Menurut Muhyiddin, berdasarkan maklum balas, isu di kawasan bandar telah menjejaskan pelbagai kaum dan tindakan segera perlu dilakukan untuk menangani isu berkaitan.

Menurut Kit Siang, kenyataan terbaru Muhyiddin itu bercanggah dengan kenyataan yang dibuatnya pada Mac lalu yang menyatakan “Melayu pertama, Malaysia kedua”.

Sehubungan itu, beliau berharap Muhyiddin tidak hanya menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada 47 peratus pengundi BN, sebaliknya memainkan peranan bagi semua rakyat Malaysia.-Roketkini.com