Berita

Skandal KLIA2: Hishammuddin beri alasan tidak logik, bukti wujud ketirisan

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: DAP mengecam Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana memberi jawapan ringkas yang tidak logik kepada Parlimen mengenai skandal projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, jawapan Hishamuddin itu menunjukkan bahawa beliau tidak serius menangani ketirisan dalam projek KLIA2.

Merujuk kepada kos projek KLIA2 meningkat sehingga RM4 bilion, Pua berkata, jawapan sangat pendek itu membuktikan sikap acuh tidak acuh Hishammuddin.

Isnin lalu, dalam soalan lisannya pada sidang Dewan Rakyat, Pua bertanya, adakah tarikh akhir baru untuk menyiapkan projek KLIA2 akan menjejaskan kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam jawapannya, Hishammuddin berkata, kelewatan itu tidak menjejaskan keuntungan MAHB kerana ia tidak ada kena mengena dengan urusan perniagaan.

“Jika kelewatan tidak menjejaskan keuntungan MAHB, kenapa begitu tergesa-gesa?. Jawapan menteri tidak masuk akal dan menunjukkan betapa mereka sangat tidak bertanggungjawab terhadap pelaburan serta perbelanjaan syarikat berkaitan kerajaan,” tegasnya yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Pua menegaskan Hishammuddin juga gagal memberi jaminan bahawa kos projek itu tidak akan melebihi RM4 billion.

“Apabila tidak ada jaminan, ia petanda perbelanjaan akan meningkat,” ujarnya.

Katanya lagi, MAHB telah berhutang RM1.3 bilion untuk menanggung kos projek KLIA2 dan perlu membayar faedah setiap tahun kerana operasinya ditangguhkan selama lebih dua tahun, sudah pasti akan mengurangkan keuntungan.

Sehubungan itu, beliau mendesak Hishammuddin bertanggungjawab di atas kelewatan KLIA2 dan berharap beliau tidak menjadi seperti pemimpin terdahulu, Datuk Seri Kong Cho Ha, yang tidak mengambil berat mengenai projek itu.

“Kami menggesa Hishammuddin menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan supaya penjelasan yang betul boleh diberikan,” katanya. -Roketkini.com