Berita

DAP minta BN jangan diskriminasi pengundi, agih peruntukan dengan adil

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mendiskriminasi kawasan yang diwakili Pakatan Rakyat (PR) apabila wujud perbezaan ketara pembahagian peruntukan bagi kawasan Parlimen seluruh negara.

Walhal, peruntukan Parlimen itu adalah hasil daripada wang rakyat seluruh negara yang membayar cukai mereka kepada kerajaan melalui pelbagai jenis cukai.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan, bagi kawasan Parlimen di Semenanjung, sebanyak 85 kawasan diperuntukkan sebanyak RM1 juta, manakala 80 kawasan lagi masing-masing diperuntukkan hanya RM0.3 juta.

“Bagi kawasan Parlimen di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, sebanyak 48 kawasan diperuntukan RM1.5 juta dan sembilan kawasan diperuntukkan RM0.5 juta,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini merujuk kepada jawapan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada soalannya.

“Jawapan yang saya dapat mengatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai dasar baru dalam pengagihan peruntukan khas bagi semua kawasan Parlimen. Ini bermakna, kerajaan BN mendiskriminasi kawasan yang diwakili Ahli Parlimen oposisi masih diteruskan,” jelas Loke.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, berkata pendekatan yang digunakan Najib lebih teruk daripada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sekurang-kurangnya Pak Lah tidak mendiskriminasi kawasan oposisi daripada segi jumlah peruntukan yang diberi walaupun semua peruntukan diuruskan Pejabat Pembangunan Negeri dengan keputusannya dipengaruh Ketua UMNO Bahagian.,” jelasnya.

Katanya, terdapat perbezaan sangat ketara daripada segi jumlah peruntukan di antara kawasan yang diwakili BN dan PR.

“PR memenangi 80 kawasan Parlimen di Semenanjung, 3 di Sabah dan 6 di Sarawak. Mengapa terdapat diskriminasi daripada segi jumlah peruntukan untuk kawasan yang dimenangi PR?

“Permintaan Najib untuk “national reconciliation” adalah cakap tidak serupa bikin! Diskriminasi terhadap kawasan oposisi sebenarnya adalah “national retaliation” (balas dendam) yang berterusan kepada rakyat yang menyokong PR,” katanya sambil mendesak agar peruntukan bagi 222 Parlimen diagihkan secara adil.

Turut serta pada sidang media itu termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang menyokong gesaan Loke.-Roketkini.com